Tiada perkataan sokongan bersyarat dalam Perlembagaan Persekutuan - Utusan Malaysia

Tiada perkataan sokongan bersyarat dalam Perlembagaan Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada perkataan unconditional atau tanpa syarat dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan berhubung sokongan terhadap proses pelantikan pelantikan Perdana Menteri.

Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Dr. Marzuki Mohamad menjelaskan, sebaliknya Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyebut Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu perlu melantik Perdana Menteri iaitu seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Saya tidak faham kenapa sesetengah pihak mengatakan sokongan Perikatan Nasional (PN) kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sah semata-mata kerana syaratnya ialah pertama,  menteri yang bakal dilantik mestilah bebas daripada pertuduhan jenayah dan kedua kerajaan PN mesti terus hormat prinsip pengasingan kuasa, kebebasan badan kehakiman dan Raja Berperlembagaan.

“Saya cari dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan perkataan “unconditional confidence of the majority” atau kepercayaan majoriti tanpa syarat. Saya tak jumpa perkataan ‘unconditional’. Yang saya jumpa hanyalah perkataan ‘confidence of the majority’ atau kepercayaan majoriti.

“Jadi janganlah kita suka-suka tambah perkara yang tiada dalam perlembagaan,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Semalam, bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga mendakwa sokongan bersyarat PN kepada Ismail Sabri untuk dilantik sebagai Perdana Menteri tidak boleh dianggap sah kerana sokongan ahli Parlimen mesti dilakukan tanpa syarat.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri sementara merangkap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sokongan daripada 50 anggota Parlimen gabungan itu kepada Ismail Sabri sebagai calon pengganti beliau adalah bersyarat

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meminta 220 ahli Parlimen menyatakan identifikasi yang secukupnya seorang sahaja ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan, pernyataan kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Marzuki menjelaskan antara sumpah jawatan Perdana Menteri ialah mesti berikrar untuk junjung perlembagaan dengan pengasingan kuasa dan kebebasan badan kehakiman adalah sebahagian daripada peruntukan dalam undang-undang tertinggi negara itu yang mesti dijunjung oleh mana-mana individu yang dilantik.

“Sebelum Jemaah Menteri dilantik, proses vetting akan dibuat untuk memastikan bakal menteri tidak ada rekod jenayah, bebas rasuah, tidak ada rekod sangkut bayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan bukan seorang yang bankrap. Ini selari dengan syarat PN, ia bukan perkara luar biasa, kalau tak buat itu luar biasa,” ujar beliau.

Malah katanya lagi, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dilantik sebagai Perdana Menteri di atas syarat iaitu beliau melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kemudian menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Satu dunia tahu syarat ini yang ditandatangan ‘on the dotted lines’ oleh semua Ketua Parti Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Dr. Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri di atas syarat ini dan pelantikannya adalah sah,” tambah Marzuki. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya