KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menyalurkan bantuan segera berjumlah RM2.79 juta sebagai penyelesaian sementara menangani krisis air berulang membabitkan 29,151 pengguna di sebahagian daerah ini dan Kuala Nerus.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Syarikat Air Terengganu (Satu) kepada penduduk yang terjejas.
Katanya, daripada jumlah itu, RM1.04 juta diserahkan kepada 104 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan penyelaras.
“Di samping itu, RM500,000 disalurkan untuk pengurusan, logistik dan bekalan berkaitan di semua kawasan yang terlibat.
“Kerajaan negeri juga akan membekalkan air minuman dalam kotak berjumlah RM1.25 juta kepada semua rumah terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Krisis bekalan air Terengganu yang berlaku sejak kelmarin dijangka berlarutan hingga 12 September ini.
Ahmad Samsuri berkata, pihaknya akan memastikan bekalan air bersih dihantar dengan kekerapan yang sesuai bagi memastikan penduduk dapat kemudahan bekalan air bersih hingga krisis tersebut selesai.
Dalam pada itu, beliau mengarahkan jawatankuas khas krisis air melanjutkan terma siasatan untuk kes yang kedua bagi merencanakan tindakan jangka masa panjang.
“Pembinaan paip di dasar sungai itu dilaksanakan pada 2003 dan mula digunakan pada tahun 2006,” katanya. – UTUSAN










