Tauke sari bangkit jual ikan siakap - Utusan Malaysia

Tauke sari bangkit jual ikan siakap

MOHD Taftazany Ab. Aziz bersama Siakap Bakul yang siap dimasak untuk dijadikan hadiah atau tanda ingatan ketika musim pandemik di Kota Jembal, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pepatah ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’ menjadi pedoman seorang usahawan untuk tidak mudah mengalah, biarpun sudah dua kali ‘terduduk’ dalam tempoh lebih setahun negara diancam pandemik Covid-19.

Mohd. Taftazany Ab. Aziz, 37, sebaliknya gigih bangkit semula dengan menjual Siakap Bakul, iaitu hidangan ikan siakap tiga rasa dalam bakul untuk dikirim kepada sesiapa sahaja sebagai hadiah atau tanda ingatan istimewa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Taftazany berkata, dia ‘terduduk’ kali pertama selepas peniagaan Kain Sari Melayu (KSM) dibuka di Kota Jembal, di sini ditutup ekoran kekangan operasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebagai alternatif, dia membuka kedai makan, Lot 24 Food Village Kota Jembal di lokasi sama, namun perniagaan itu juga gagal bertahan lama sehingga dia terpaksa menghentikan 20 pekerja akibat PKP yang berterusan.

Dia mengakui, dua kejatuhan berturut-turut sedikit sebanyak mendorongnya kepada kemurungan memandangkan hampir semua wang simpanan habis digunakan untuk kelangsungan hidupnya dan isteri serta dua anak mereka.

“Hati mana tidak sedih melihat perniagaan yang dibina bertahun-tahun musnah hanya dalam tempoh kurang lebih setahun angkara ancaman Covid-19 yang tidak reda.

“Setiap hari saya memikirkan bagaimana mahu menyara isteri, Ismarinie Dollah, 38, dan anak-anak kami yang baru berusia enam dan 10 tahun dengan ekonomi yang semakin merudum,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Mohd. Taftazany berkata, idea membuat Siakap Bakul tercetus selepas melihat bagaimana pandemik ‘memisahkan’ ahli keluarga, terutama perantau yang tidak dapat pulang menjenguk ibu bapa di kampung.

Katanya, menerusi Siakap Bakul, dia bukan sahaja menyediakan hidangan istimewa dalam bekas yang cantik berhias, malah memastikan bingkisan ditempah khas pelanggan itu sampai ke tangan insan tersayang.

“Tak sangka, perkhidmatan ini dapat sambutan selepas saya kongsikan di Facebook. Bukan sahaja individu, malah agensi-agensi turut buat tempahan sampaikan saya dan isteri perlu menyediakan antara 30 hingga 40 ekor ikan siakap setiap hari.

“Kiriman Siakap Bakul tidak terhad di Kota Bharu sebaliknya turut melibatkan daerah berhampiran kerana saya kini sudah mula mengambil khidmat rider,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN