Sorok syabu, pil kuda RM10.9 juta dalam semak - Utusan Malaysia

Sorok syabu, pil kuda RM10.9 juta dalam semak

SHAFIEN Mamat bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis syabu dan pil kuda bernilai RM10.9 juta yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Tumpat hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Kegiatan seorang penganggur menyorok bungkusan berisi dadah jenis syabu dan pil kuda bernilai RM10.9 juta dalam kawasan semak di Kampung Kuala Jambu, di sini terbongkar selepas dia dicekup polis, Selasa lalu.

Rampasan dadah syabu seberat 80 kilogram dan 804,000 biji kuda itu dibuat pada pukul 2 petang, hasil soal siasat yang dilakukan ke atas suspek berusia 32 tahun.

Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, terdahulu pada pukul 10.05 pagi, pihaknya telah menahan kereta Honda Jazz dinaiki suspek di Kampung Bendang Pak Yong, di sini dan merampas dadah jenis heroin seberat 0.1 gram serta dua liter air ketum.

“Hasil soal siasat yang dilakukan, suspek kemudian telah membawa polis ke kawasan semak berdekatan Kampung Kuala Jambu untuk menunjukkan lokasi dia menyembunyikan dadah tersebut.

“Kesemua dadah yang dijumpai pihak polis di kawasan semak itu diisi dalam bungkusan plastik,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, di sini hari ini.

Shafien memberitahu, saringan air kencing mendapati suspek positif dadah selain turut mempunyai satu rekod jenayah lampau berkait dengan bahan terlarang itu.

“Suspek direman selama seminggu bermula Isnin bagi membantu siasatan dan kita menolak kemungkinan suspek mempunyai hubungkait dengan sindiket pengedaran dadah yang ditumpaskan sebelum ini.

“Suspek juga merupakan salah seorang individu yang berada dalam senarai pemantauan polis berkait dengan pengedaran dadah,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN