PUTRAJAYA: Biarpun lebih seminggu isu kerosakan lif di Conezion Residences di sini berlaku, masalah ‘pengangkutan’ utama penduduk di kondominium mewah itu masih belum diselesaikan.
Lebih 2,000 penduduk terpaksa berebut menggunakan hanya satu lif yang satu-satunya berfungsi daripada keseluruhan lima buah terutama melibatkan blok C yang terkesan teruk akibat kejadian limpahan air tangki, baru-baru ini.
Keadaan itu mengakibatkan ramai antara penduduk memilih memanjat tangga biarpun kediaman mereka berada di paras tinggi bangunan yang meliputi 32 tingkat itu.
Lebih menyedihkan, ada dalam kalangan penduduk yang menghidapi masalah kanser paru-paru terpaksa menggunakan tangga, walaupun boleh mengancam nyawa mereka.
Menerusi rakaman video yang diterima Utusan Malaysia, seorang wanita berusia lewat 60-an yang merupakan bekas pesakit kanser itu kelihatan sangat lemah menaiki tangga dengan keadaan tercungap-cungap dan terpaksa berhenti sekejap bagi mengambil nafas selepas memanjat beberapa anak tangga sehingga ke tingkat tujuh.
Situasi itu amat meruntun simpati orang ramai apabila kelihatan seorang anak kecil bersamanya yang merupakan cucunya itu seolah-olah mahu membantu neneknya.
Menurut seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Zara, ada dalam kalangan penghuni yang sarat mengandung dan merupakan seorang petugas barisan hadapan juga terpaksa menggunakan tangga semata-mata mahu segera keluar bekerja.
“Sampai bila kami mahu tunggu lif ini dibaik pulih? Walaupun hanya satu beroperasi, ada ketikanya ia gagal berfungsi sehingga kami tiada pilihan lain melainkan perlu memanjat tangga.
“Walaupun pihak IOI Properties memberitahu pihaknya menubuhkan segera jawatankuasa kerja dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB) bagi menyelesaikan isu kerosakan lif secepat mungkin, ia tidak ada guna selagi masalah ini tak selesai. Kami hanya mahu lif ini segera dibaiki,” katanya di sini semalam.
Selain masalah kerosakan lif, seorang lagi penduduk, Aiman berkata, penduduk juga tidak selesa dengan tindakan pemaju perumahan menjadikan unit-unit rumah yang tidak terjual sebagai rumah kongsi pekerja asing.
Mereka langsung tidak peduli seolah-olah ‘menguasai’ kondominium itu dengan mencemarkan kondominium seperti membuang sampai merata-rata, membuat bising selain tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Sikap pekerja asing ini langsung tidak mematuhi SOP terutama ketika menggunakan lif yang satu itu dengan masuk beramai-ramai, mereka tidak peduli penjarakan.
“Jika keadaan berterusan berlaku, kami amat risau penularan jangkitan Covid-19 pula di sini,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kekecewaan penduduk Conezion Residences itu berhubung tahap fasiliti daif terutama melibatkan perkhidmatan lif yang gagal berfungsi sepenuhnya mengakibatkan mereka terpaksa beratur panjang setiap hari.
Lebih memburukkan, kediaman yang dibeli pada harga hampir RM1 juta itu hanya indah khabar dari rupa walaupun baru mendiami tiga tahun, namun pelbagai masalah berlaku sedangkan isu kualiti sepatutnya berada pada tahap tertinggi agar setimpal dengan kos kediaman.
Laporan itu kemudiannya dimuat naik ke Facebook Utusan Online bersama rakaman video yang memaparkan insiden limpahan tangki air pada 24 Julai lalu sehingga berlaku ‘banjir’ mengakibatkan air memasuki ruang lif dan berlaku kerosakan.
Video berkenaan mendapat tontonan lebih 353,000 sehingga mengundang pihak IOI Properties menjawab isu itu menerusi ruangan komen video dan menyatakan pihaknya bersimpati dengan penderitaan dan kesulitan yang dilalui penduduk, namun mendakwa penyelenggaraan dan pengurusan kawasan umum telah diserahkan kepada JMB sejak 20 Julai lalu.
Rata-rata penduduk turut meluahkan rasa tidak puas hati menerusi ruangan komen itu dengan mendakwa adalah tidak adil untuk memperoleh tahap kualiti kediaman seumpama ini berbanding kos yang dibeli. – UTUSAN ONLINE