PUTRAJAYA: Buat julung kalinya, sambutan Hari Kebangsaan 2021 berlangsung kira-kira 55 minit susulan isu kebimbangan trend penularan pandemik Covid-19.
Perkara itu disahkan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Mazlan Abdul. Mutalib selepas raptai penuh sambutan tersebut di sini, semalam.
“Tempoh terhad ini bagi mengurangkan risiko jangkitan, malah setiap ruang dilalui peserta disembur bahan nyah cemar bagi memastikan lokasi sentiasa bersih,” katanya.
Seperti tahun lalu, sambutan kali ini diadakan di Dataran Pahlawan Negara di sini dalam suasana kawalan ketat dan norma baharu tanpa penonton bagi mengelakkan kesesakan.
Mengekalkan tema sama tahun lepas, Malaysia Prihatin, sambutan kali ini berbeza apabila menyaksikan perubahan kepemimpinan negara kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Lebih menarik, kesemua barisan 69 anggota jemaah menteri dan timbalan menteri baharu mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara di ibu negara sehari sebelum sambutan ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Setiausaha Jawatankuasa Kerja Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 berkata, hanya peserta yang sudah lengkap dua dos vaksinasi terlibat dan
menjalani ujian saringan tiga hari sebelum acara berkenaan.
Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia akan mengadakan tembakan meriam istiadat sebanyak 14 das bermula pukul 8 pagi dari Sisiran Tasik di Presint 1 bagi menandakan sambutan tersebut.
Raptai berkenaan turut menampilkan bacaan ikrar Rukun Negara dan pertunjukan formasi melibatkan sejumlah pesawat dan jet tempur Tentera Udara Diraja Malaysia di ruang angkasa.
Mazlan menambah, empat persembahan diadakan di Dataran Pahlawan Negara manakala tiga lagi di lapangan yang turut meliputi pancaragam badan beruniform dalam skala kecil.
Orang ramai boleh menyaksikan secara langsung melalui semua stesen penyiar tempatan mulai pukul 8 pagi selain akaun sosial Facebook kementerian dan Jabatan Penerangan. – UTUSAN ONLINE