PANNA: Penemuan luar biasa di atas sebidang tanah yang baru dipajak dua rakan lama di kawasan perlombongan berlian Panna, wilayah tengah India ibarat ‘rezeki terpijak’ apabila sebutir berlian bernilai tinggi ditemukan, sekaligus mengubah kehidupan mereka sekelip mata.
Satish Khatik dan Sajid Mohammed menjumpai batu besar berkilauan itu pada satu pagi musim sejuk baru-baru ini selepas beberapa minggu memajak tanah tersebut.
Pemeriksaan lanjut oleh penilai berlian rasmi bandar itu mengesahkan batu tersebut sebagai berlian berkualiti permata seberat 15.34 karat iaitu antara jenis berlian semula jadi terbaik yang wujud.
Menurut Anupam Singh, penilai berlian rasmi, nilai pasaran anggaran batu tersebut adalah sekitar lima hingga enam juta rupee India (RM226,275 – RM271,546) dan ia dijangka akan dilelong tidak lama lagi.
“Kerajaan mengadakan lelongan setiap suku tahun yang menarik pembeli dari seluruh India dan luar negara,” katanya.
Harga anggaran, jelas beliau, bergantung kepada kadar dolar serta penanda aras yang ditetapkan oleh Laporan Rapaport, sebuah rujukan utama dalam analisis pasaran berlian dan barang kemas global.
Khatik, 24, yang mengusahakan kedai daging dan Mohammed, 23, seorang penjual buah-buahan, berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan merupakan anak bongsu dalam keluarga masing-masing. Mereka meluahkan kegembiraan atas penemuan tersebut.
“Kami kini boleh mengahwinkan adik-beradik perempuan kami,” kata mereka.
Bagi penduduk Panna, mencari berlian bukanlah perkara asing. Selama beberapa generasi, keluarga di daerah itu mencuba nasib mencari batu berharga berkenaan.
Panna, yang terletak di negeri Madhya Pradesh, merupakan antara daerah paling kurang membangun di India, berdepan kemiskinan, kekurangan air dan pengangguran.
Namun, daerah itu juga menempatkan sebahagian besar rizab berlian India dan kekal sebagai destinasi utama pemburu berlian.










