PASIR SALAK: Rumah tokoh pejuang negara, Datuk Maharajalela di Kompleks Sejarah Pasir Salak di sini, yang terbiar lebih 10 kini dalam proses baik pulih.
Tinjauan mendapati, kerja-kerja baik pulih bermula baru-baru ini oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak Tengah.
Sebelum ini, kerajaan negeri menerusi Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongannya, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi mengumumkan peruntukan RM300,000 untuk kerja baik pulih rumah bersejarah itu yang berada dalam keadaan daif.
Mengikut perancangan, ia dibina semula mengikut reka bentuk asal rumah pahlawan Melayu itu yang terkenal dengan penentangannya terhadap penjajahan Inggeris lebih 100 tahun lalu.
Waris kepada Datuk Maharajalela, Tengku Mustaffa Tengku Mohd. Yunus, 61, gembira dengan perkembangan terbaru itu dan tidak sabar melihat rumah berkenaan kembali berada dalam keadaan baik dan terjaga.
Beliau yang juga Orang Besar 32 Perak berkata, perkembangan itu juga sudah pasti menggembirakan penduduk di sekitar kawasan ini apabila rumah yang penuh dengan sejarah penting negara mendapat perhatian kerajaan.
“Saya percaya apabila siap dibaik pulih, ia menarik semula kedatangan pelancong ke sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Utusan Malaysia menyiarkan laporan mengenai rumah tokoh pejuang negara itu yang terbiar lebih 10 tahun tanpa diselenggara dengan baik.
Berikutan itu, Krajaan Negeri Perak meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi membaik pulih rumah berkenaan melalui Lembaga Muzium Perak. – UTUSAN ONLINE