RM5 juta pulihkan kawasan rosak akibat kepala air  - Utusan Malaysia

RM5 juta pulihkan kawasan rosak akibat kepala air 

KEADAAN Chalet Alang Kenari sebelum dan selepas kejadian kepala air di Gunung Jerai, Yan, Kedah 18 Ogos 2021. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan bantuan segera hampir RM5 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang rosak akibat kepala air dari Gunung Jerai, Yan dekat sini pada Rabu lalu.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, peruntukan tersebut telah digunakan serta-merta bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dilakukan segera.

“Kerja-kerja pembaikan melibatkan kerosakan sistem bekalan air, sistem saliran dan pengairan serta tebatan banjir.

“Manakala pihak kerajaan negeri akan memperbaiki  segera kerosakan infrastruktur seperti bekalan elektrik, sistem perparitan, jalan raya dan jambatan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)  menyelaras kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan air termasuk menggerakkan anggota 60 Rejimen Pakar Air RAJD (AW), bantuan lori tangki operator air untuk penghantaran bekalan air dan pengagihan bantuan 1,000 botol air minuman kepada penduduk terjejas.

Dalam pada itu, Zaini berkata,  dua punca dikenal pasti menyebabkan kejadian banjir adalah hujan lebat luar biasa dalam tempoh singkat di kawasan puncak Gunung Jerai serta halangan sampah sarap, kayu dan reba pokok yang tersangkut pada binaan struktur jambatan.

“Dianggarkan purata taburan hujan sebanyak 278 milimeter telah turun dalam tempoh lapan jam.

“Halangan sampah sarap, kayu dan reba pokok  tersangkut pada binaan struktur jambatan dan lintasan menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan sekitar terutamanya di Kampung Tupah dan Taman Tupah,” kata beliau.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN