SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan (KKM) didakwa memberikan alasan khuatir berlaku kecurian data apabila aplikasi MySejahtera dan SELangkah diintegrasikan bagi pengesanan kontak rapat.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud yang memaklumkan kewujudan integrasi perlu untuk kemudahan mengesan kontak rapat pesakit Covid-19 dengan pantas.
Bagaimanapun, beliau menempelak KKM apabila menafikan kebocoran data boleh berlaku dengan menegaskan tidak semua data perlu dikongsikan antara MySejahtera yang dibangunkan Persekutuan manakala SELangkah dibangunkan oleh kerajaan negeri.
Katanya, semua maklumat dalam kedua-dua aplikasi tersebut akan melalui proses secara automatik menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Tidak semua data (daripada SELangkah) akan diberikan kepada MySejahtera dan begitu juga dari MySejahtera kepada SELangkah untuk pengesanan kontak.
“Ini kerana, semua data ini adalah bersifat anonymous (bersifat rahsia),” katanya ketika sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar (PH-Meru) yang bertanyakan kerahsiaan data pengguna Selangkah sekiranya dikongsikan dengan aplikasi MySejahtera.
Siti Mariah juga memaklumkan beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kesihatan baharu, Khairy Jamaluddin bagi membincangkan pengintegrasian SELangkah dengan MySejahtera yang mahu dilaksanakan kerajaan negeri, sebelum ini.
Dalam hal lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang itu berkata, tindakan kerajaan negeri yang menambah baik fungsi SELangkah membuatkan pengguna aplikasi tersebut dapat disambungkan ke MySejahtera.
“Apabila wujud integrasi berkenaan, kesemua data pengguna SELangkah bagi penjejakan kontak kasual dapat dilaksanakan oleh MySejahtera,” jelasnya.- UTUSAN