KUALA NERUS: Polis akan mengambil beberapa langkah bagi memastikan tiada kejadian penyalahgunaan identiti sijil digital vaksin Covid-19 dalam kalangan ahli keluarga atau kenalan rapat.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, buat masa ini pihaknya belum menerima laporan mengenai kes berkenaan.
“Kalau sudah ada niat untuk buat macam-macam, memang mereka akan lakukan.
“Kita mengambil maklum keadaan itu dan akan melaksanakan beberapa langkah tertentu untuk mengatasinya,” kata beliau pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan Op Bantu kepada pesara polis, Sarjan Jali Dawi di Taman Permint di Seberang Takir di sini hari ini.
Turut hadir sama, Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa.
Baru-baru ini, polis Kedah menerima satu laporan mengenai penjualan sijil digital vaksin palsu berharga RM15 di media sosial.
Dalam perkembangan lain, Acryl Sani mengulangi jaminan bahawa situasi keselamatan dan ketenteraman awam kekal terkawal.
“Kita perhatikan tiada isu, jadi pihak polis berharap orang ramai kekal bertenang dan menunggu apa jua keputusan akan dibuat di Parlimen nanti,” katanya.- UTUSAN










