JOHOR BAHRU: Polis Johor berjaya mematahkan dua sindiket pengedaran dadah masing-masing dalam operasi berasingan di Batu Pahat dan Seri Alam, di sini awal bulan ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kes pertama melibatkan tiga serbuan berasingan di Batu Pahat yang berjaya merampas 29.48 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.6 juta.
Menurut beliau, pihaknya turut menahan empat suspek terdiri dua lelaki dan dua wanita termasuk sepasang suami isteri yang berusia antara 30 hingga 43 tahun.
“Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki dan merampas sejumlah dadah jenis syabu. Susulan itu, polis telah melakukan serbuan berasingan dan berjaya menahan tiga lagi suspek termasuk sepasang suami isteri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Tambah Ayob Khan, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati kesemua suspek positif dadah.
“Semakan rekod lampau juga mendapati keempat-empat suspek yang mula bergiat dalam jenayah itu sejak bulan lepas mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Dalam serbuan ini, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM30,210,” ujarnya yang turut memberitahu modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan mengambil bekalan dadah dari Pendang, Kedah untuk pasaran negara jiran.
Sementara itu, Ayob Khan berkata, serbuan di Seri Alam pada 3 Ogos lalu pula turut merampas 5.21 kg syabu bernilai RM187,848 selain menahan tiga suspek lelaki berusia 29 hingga 40 tahun.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati kesemua suspek positif Methamphetamine dan turut memiliki rekod lampau bersabit penyalahgunaan dadah dan jenayah.
“Sindiket yang telah beroperasi sejak awal tahun ini memasarkan bekalan dadah mereka untuk pasaran tempatan sekitar bandar raya ini,” ujarnya.
Ayob Khan turut memberitahu, dalam serbuan tersebut, polis turut merampas empat buah kenderaan, wang tunai RM4,810, pelbagai barangan kemas dan akaun bank bernilai RM100,000.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan bagi kedua-dua kes adalah RM1.789 juta manakala bekalan dadah berkenaan boleh digunakan seramai 173,450 penagih. Kesemua suspek dikenakan tahanan reman manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Sejak 1 Januari hingga 8 Ogos tahun ini, polis Johor telah menahan seramai 8,187 suspek atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dengan nilai rampasan keseluruhan dadah seberat 9.94 tan dan bernilai RM352.13 juta. – UTUSAN










