PETALING JAYA: UMNO menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN), sekali gus secara dasarnya menyebabkan kerajaan hilang majoriti selepas 11 ahli parlimen parti itu mengumumkan demikian semalam.
Ini menjadikan kerajaan PN yang sebelum ini mempunyai 114 kerusi, sehingga malam tadi hilang majoriti apabila hanya berbaki 103 kerusi.
Pendirian UMNO itu diumumkan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO secara maya yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Sebelas ahli Parlimen UMNO berkenaan termasuk Ahmad Zahid adalah terdiri daripada Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Datuk Seri Azalina Said Othman (Pengerang), Datuk Mohd. Nizar Zakaria (Parit), Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling) dan Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang).
Sementara empat yang lain ialah Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang), Ramli Mohd. Nor (Cameron Highlands) dan Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian).
Terdahulu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.
Dalam sidang akhbar di Ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, Ahmad Zahid berkata, UMNO memilih berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan tidak mempertahankan Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan telah gagal.
Katanya, kenyataan terbaharu Perdana Menteri mengenai isu darurat semalam tidak menjernihkan masalah, bahkan menyerlahkan kekhilafan kerajaan yang telah menyanggah titah Agong yang hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahas dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi, bukan September 2021, sejajar Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Agong, maka MT UMNO sebulat suara bersepakat menarik balik sokongan terhadap Kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin.
“Tan Sri Muhyiddin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran kerajaan pimpinan beliau menyanggah titah Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.
“Surat Akuan ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telahpun dipersembahkan kepada Agong, sekali gus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan,” tegas beliau
Dalam pada itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, kerajaan hanya boleh dibentuk dengan sokongan 112 ahli parlimen.
“Jadi bila 11 orang sudah menarik sokongan, berapa yang tinggal bersama kerajaan Tan Sri Muhyiddin? Teknikalnya sangat mudah. Matematik yang asas.
“Angka yang ada sudah cukup membuktikan Tan Sri Muhyiddin hilang majoriti. Selebihnya kita serahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan,” katanya.
Ditanya mengenai hala tuju UMNO selepas ini, Ahmad Maslan berkata, pihaknya akan berbincang lebih lanjut mengenai perkara itu, namun buat masa ini beliau tidak menolak wujudnya kerajaan campuran untuk kestabilan politik di negara dalam mengatasi masalah pandemik Covid-19.
“Kita akan bincang perkara ini dan kita juga akan lihat apa perkara yang akan diputuskan oleh Agong. Mungkin akan ada kerajaan campuran? Kerana kami ada satu lagi keputusan iaitu tiada Anwar tiada DAP. Mungkin kerajaan yang ada ini tidak berubah, yang berubah hanyalah Perdana Menteri sahaja,” jelasnya.
Khamis lalu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan sedangkan ia belum mendapat perkenan Seri Paduka.
Seri Paduka turut berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara.
Sebaliknya Pejabat Perdana Menteri menyatakan apabila darurat tidak bersambung, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.
Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan Kerajaan Persekutuan telah membatalkan semua peraturan Ordinan Darurat, namun kenyataan itu mendapat bantahan pelbagai pihak yang disifatkan tidak melalui proses yang betul selain ‘membelakangkan’ Agong. – UTUSAN










