Guna bayar gaji, sewa, tak mampu mula semula perniagaan
PETALING JAYA: Majlis Pemulihan Negara (MPN) digesa memberi fokus kepada pemulihan ekonomi rakyat khususnya melegakan kesesakan aliran tunai (liquidity crunch) yang teruk dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selepas terpaksa menutup operasi perniagaan hampir tiga bulan sejak Mei lalu.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Pusat, Datuk William Ng berkata, walaupun sebilangan sektor perniagaan telah dibenarkan beroperasi baru-baru ini, ramai PKS tidak mampu memulakan semula perniagaan mereka berikutan aliran tunai yang telah dihabiskan untuk membayar gaji pekerja dan sewa selama tempoh tersebut.
Justeru, beliau berharap MPN di bawah pimpinan baharu terus diperluas supaya dapat membantu kumpulan-kumpulan kerja yang membabitkan setiap industri dan lapisan masyarakat.
“Kami memohon barisan Kabinet baharu segera mengarahkan moratorium penguatkuasaan terhadap ketidakpatuhan tertentu oleh PKS. Contohnya, semua audit cukai untuk tahun tafsiran sebelum 2019 oleh agensi berkenaan boleh ditunda sehingga hujung tahun depan atau 2023.
“Ini penting agar PKS yang hampir gulung tikar sekarang dapat ‘bernafas’ seketika. Biarlah ekonomi negara bergerak lancar semula sebelum aktiviti audit diteruskan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
William turut berpendapat, golongan B40 dan M40 perlu dilindungi melalui pelepasan cukai individu yang lebih tinggi untuk tahun tafsiran 2021 supaya lebih aliran tunai dapat diedarkan di dalam pasaran tempatan untuk merangsangkan penggunaan domestik.
“Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan mandat MPN haruslah merangkumi dasar dan strategi untuk memerangi pandemik dan menyediakan landasan untuk ekonomi mereka kembali ke tahap sebelum pandemik.
“Kita harus ingat, kebanyakan negara jiran telah mula mengatur langkah untuk membuka sektor ekonomi mereka sepenuhnya dan melaksanakan strategi baharu untuk menguasai pasaran serantau pasca pandemik,” ujarnya.
Dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kerajaan akan menumpukan usaha ke arah mencapai dua objektif utama pemulihan ekonomi iaitu meningkatkan kuasa beli pengguna dan mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, untuk mencapai objektif pertama, kerajaan perlu memastikan inflasi dalam keadaan terkawal.
Kata beliau, kerajaan perlu memastikan tingkat harga barangan tidak melambung disebabkan peningkatan yang mendadak dalam permintaan.
“Juga, ekonomi perlu dibuka seluas-luasnya supaya pendapatan pengguna akan kembali ke tahap sebelum pandemik.
“Pengembalian pendapatan ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna yang selanjutnya meningkatkan kuasa membeli. Ini akan menyebabkan kerancakan ekonomi dan merangsang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.
Berkenaan mengembalikan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, Baharom berpendapat ia boleh dicapai apabila sektor swasta memainkan peranan melakukan pelaburan baharu.
Beliau juga berpandangan, masih awal untuk menilai impak kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri terhadap imej ekonomi negara namun terdapat beberapa hal yang positif dapat dilihat dalam ucapan sulungnya.
“Banyak implikasi positif dari segi nada merendah diri Perdana Menteri untuk melibatkan semua pihak termasuk pembangkang untuk membina kembali negara seperti satu keluarga,” katanya. – UTUSAN










