Perak sasar jadi pengeluar kenaf - Utusan Malaysia

Perak sasar jadi pengeluar kenaf

RAZMAN Zakaria menuai kenaf menggunakan mesin pemotong di Ladang Gugusan Lambor , Parit, Perak hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Perak menyasarkan menjadi pengeluar utama tanaman kenaf di negara ini dalam tempoh lima tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Bekalan Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, setakat ini 140 hektar tanaman kenaf telah diusahakan di negeri ini.

Menurutnya, pihaknya telah berbincang dengan  Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) yang telah memulakan tanaman kenaf sejak awal tahun ini untuk memperluaskan tanaman tersebut di negeri ini.

Kita sudah bincang dengan PPPNP dan melihat potensi ini mungkin kita boleh menjadi pengeluar utama negara.

“Kita juga ingin uar-uarkan contoh model tanaman kenaf yang ditanam PPPNP seluas 140 hektar di Gugusan Ladang Lambor yang sudah mengeluarkan hasilnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan merasmikan penuaian tanaman kenaf di ladang Gugusan Lambor di sini, hari ini.

Penanaman kenaf di Gugusan Ladang Lambor milik PPPNP ini merupakan projek perintis dengan usahasama Lembaga Kenaf Tembakau Negara (LKTN) melibatkan 70 peserta terdiri dari kalangan penduduk setempat.

Menurut Razman, kerajaan negeri juga bercadang untuk mendirikan sebuah kilang memproses kenaf yang ditanam di negeri ini dalam menggalakkan lagi penduduk menanam tanaman berkenaan.

Beliau berkata, ada usahasama dalam peringkat perancangan dengan PPPNP untuk membina sebuah kilang memproses kenaf yang buat masa sekarang tidak ada di Perak yang akan menggiatkan lagi sektor tanaman kenaf di Perak.

Katanya, kerajaan negeri juga akan mengadakan rundingan dengan agensi-agensi kerajaan serta syarikat milik kerajaan (GLC) di negeri ini yang mengusahakan tanaman kelapa sawit untuk terlibat dengan kenaf.

“Kita akan gunakan model di Ladang Lambor untuk galakkan agensi dan GLC serta Felda dan Felcra apabila nak tanam semula kelapa sawit  mereka boleh tanam kenaf di tengah-tengah.

“Kita juga akan bekerjasama dengan pegawai daerah untuk mewujudkan satu komuniti di kampung-kampung yang mempunyai atau melibatkan tuan tanah terbiar untuk menanam kenaf,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya