SEREMBAN: Seorang penternak kerugian apabila lebih 100 ekor anak ayam baru menetas mati dalam kebakaran kandang dan reban di Kampung Pasir Tengah, Rantau petang semalam.
S. Kalidas, 38 berkata, ketika kejadian dia berada di pekan Rantau untuk menjual susu lembu sebelum isterinya menghubungi dan memaklumkan reban ayam di belakang rumah terbakar
“Saya pulang ke rumah dan pihak bomba tiba memadamkan kebakaran. Saya tidak sempat menyelamatkan lebih 100 ekor anak ayam baru menetas termasuk. Turut terkorban dua ekor anjing peliharaan dan seekor arnab.
“Bagaimanapun, saya bernasib baik, sebanyak 20 ekor lembu sempat keluar dari kandang yang terletak bersebelahan, bomba juga sempat memadamkan kebakaran daripada merebak ke kandang, jika tidak mungkin kerugian saya lebih besar,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Menurut Kalidas, dia sudah 20 tahun menternak ayam, lembu dan kambing di belakang rumahnya itu.
“Saya mengambil alih menjaga ternakan melalui bapa sejak empat tahun lalu dan menjual ternakan dalam kalangan penduduk setempat.
“Sepatutnya saya mahu menjual 100 ekor anak ayam berkenaan hari ini namun semua sudah mati,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba Rantau, K. Putthisigamany berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.26 petang dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.
“Pihak bomba mengambil masa kira-kira sejam bagi memadamkan kebakaran dalam sebuah kandang berkeluasan 20X40 persegi itu,” katanya. – UTUSAN