MELAKA: Seorang pengayuh beca warga emas, Shahrom Samsuddin, 78, hidup keseorangan dalam keadaan serba daif di Kampung Bukit Cina, dekat sini.
Tempat tinggal yang disewa hanyalah bilik kecil yang sempit seperti sebuah dapur dengan memuatkan satu katil bujang dan dua almari baju selain meja kecil untuk meletak barangan.
Dia yang menyewa di situ sejak 30 tahun lalu selepas kematian isteri tidak lagi berupaya mengayuh beca kerana uzur, di samping mempunyai penyakit darah tinggi dan buah pinggang.
Pilu melihat bilik sempit warga emas itu untuk melelapkan mata sambil mengharungi sisa-sisa hidup, walaupun mempunyai lima anak, 13 cucu dan tiga cicit.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Shahrom berkata, keadaan itu sudah memadai memandangkan dia hidup seorang diri dan tidak mahu menyusahkan sesiapa termasuk anak-anak.
“Saya lebih selesa hidup seorang diri. Tidak mahu susahkan anak-anak kerana hidup mereka tidak sesenang mana. Tambah pula sekarang masing-masing terhimpit mencari rezeki.
“Biarlah saya hidup dalam keadaan sekarang. Sejak awal tahun ini, saya tidak boleh mengayuh lagi kerana kedua-dua belah kaki tak kuat macam dulu.
“Mujurlah saya dapat bantuan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Dapatlah bayar sewa rumah RM150 sebulan, bayar upah jiran memasak dan selebihnya buat belanja harian,” katanya yang mula mengayuh beca sejak tahun 1968.
Shahrom mengakui, anak-anaknya jarang datang menjenguk walaupun mereka tinggal di sekitar negeri ini.
Tambahnya, dia masih berasa beruntung kerana menerima bantuan barangan keperluan harian daripada rakan-rakan pengayuh beca yang kini turut tertekan akibat hilang punca pendapatan.
“Sebenarnya saya teringin nak kayuh beca semula tapi kaki tak kuat macam dulu. Cuma setiap petang, kadangkala saya kayuh basikal di Jalan Taman kerana di sini tempat saya mencari rezeki sepanjang 53 tahun,” katanya. – UTUSAN ONLINE










