
Kemajuan teknologi digital telah membuka potensi yang sangat luas dalam pelbagai aspek perhubungan dan komunikasi pada hari ini. Ia telah menjadi tonggak penting dalam pelbagai urusan, penyebaran informasi dan hubungan sosial, termasuk merealisasikan pelbagai aspirasi perniagaan merangkumi pengurusan, pemasaran dan perhubungan awam.
Bagi sektor perniagaan, menguasai pengetahuan digital pada masa kini sudah menjadi satu keperluan agar dapat memanfaatkan segala peluang dalam mendepani cabaran pasaran yang semakin kompetitif. Begitu juga dengan pemasaran media sosial yang sememangnya sudah menjadi pilihan ramai peniaga dan usahawan dalam melonjakkan potensi perniagaan. Tidak lengkap sesuatu perniagaan itu sekiranya ia tidak disertakan dengan pengenalan platform media sosial sebagai sebahagian daripada saluran rasmi perniagaan kepada pemerhatian pelanggan.
Pilihan platform media sosial popular di Malaysia seperti Facebook, Instagram, TikTok, Youtube, Twitter dan Linkedin, mempunyai ciri-ciri dan keistimewaan tersendiri dalam membina hubungan pelanggan. Ia turut membantu dalam meluaskan prospek pasaran melalui pelbagai kaedah dan kreativiti termasuk memanfaatkan penggunaan Tanda Pagar (#Hashtag) sebagai salah satu inisiatif pemasaran dalam setiap status media sosial yang dimuat naik untuk capaian audiens.
Penggunaan Tanda Pagar merupakan salah satu kaedah yang popular terutamanya dalam membangunkan strategi Pemasaran Tanpa Kos. Ia juga antara elemen yang telah terbukti membantu dalam menyokong pengenalan produk atau perkhidmatan melalui capaian organik di media sosial. Berdasarkan kajian Hootsuite pada 2021 turut mendapati, Instagram diikuti Facebook terus menjadi platform paling efektif dalam penggunaan Tanda Pagar kerana sebahagian besar pengguna di Instagram dan Facebook sering terdorong mencari perkongsian topik kandungan, gambar atau jenama yang disukai melalui Tanda Pagar.
Fungsi utama Tanda Pagar adalah untuk mengarahkan sesuatu tema, topik penceritaan atau naskah iklan yang dimuat naik melalui status media sosial dapat terkumpul dalam kelompok yang sama relevan dan boleh diakses untuk pencarian umum. Oleh itu, status dan gambar tersebut berpotensi untuk dijumpai oleh setiap pencari maklumat yang melayari Tanda Pagar yang sama di platform media sosial tersebut.
Sebagai contoh, sekiranya anda terlibat dalam perniagaan produk penjagaan kulit, penggunaan Tanda Pagar seperti #skincare, #beauty, #perawatanwajah atau seumpamanya dapat membantu membuka prospek capaian yang lebih luas dalam segmen pengguna yang berkaitan. Semakin kerap sesuatu penggunaan Tanda Pagar ditampilkan pada status dan gambar yang relevan, maka semakin tinggi peluang untuk memperoleh engagement audiens yang lebih baik.
Memanfaatkan penggunaan Tanda Pagar juga dapat membantu membina capaian prospek berdasarkan demografi dan lokaliti pasaran. Atas faktor tersebut, seringkali juga terdapat status media sosial yang turut menyertakan Tanda Pagar relevan yang sedang trending serta lokasi tertentu sebagai salah satu inisiatif membina capaian audiens dalam kelompok demografi dan lokaliti pasaran tersebut. Ia secara tidak langsung dapat memudahkan usaha mempromosi, perhubungan pelanggan dan logistik dalam lingkungan komuniti yang disasarkan.
Namun, pemasaran dengan Tanda Pagar di media sosial juga mempunyai persaingan dalam mendominasi sesuatu kata nama yang terlalu popular atau sedang tular kerana ia turut mengundang terlalu banyak perkongsian dari pengguna media sosial yang lain sehingga boleh menenggelamkan status yang dikongsikan bagi tujuan pemasaran. Oleh itu, memastikan sesuatu nama Tanda Pagar yang sesuai dengan aspirasi perniagaan juga memerlukan pemerhatian serta usaha berterusan secara konsisten.
Sungguhpun begitu, pemasaran dengan Tanda Pagar akan terus menjadi salah satu pilihan untuk dimanfaatkan dalam menyokong sebahagian usaha memperkukuh establishment pasaran dalam persaingan era digital kini.
PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN










