Pasar Wakaf Bharu tutup gara-gara lelaki gelang pink - Utusan Malaysia

Pasar Wakaf Bharu tutup gara-gara lelaki gelang pink

KEADAAN Pasar Besar Wakaf Bharu, Tumpat hari ini yang ditutup untuk proses sanitasi. - ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seorang lelaki memakai gelang merah jambu dari Kampung Berlian di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikesan singgah membeli sayur di Pasar Besar Wakaf Bharu semalam.

Gara-gara perbuatannya itu, seluruh pasar tersebut ditutup  hari ini untuk proses sanitasi bagi mengelak risiko penularan Covid-19.

Dalam kejadian  pukul 10.20 pagi, lelaki ‘gelang pink’ terbabit dipercayai keluar dari rumahnya dengan menunggang motosikal sebelum singgah di Pasar Besar Wakaf Bharu untuk membeli sayur.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan, Mohd. Razi Rosli berkata, lelaki itu cuba menyorok gelang dipakainya dengan memakai baju lengan panjang namun disedari pengurusan pasar berkenaan. 

“Bertindak hasil maklumat  kita  mengesan lelaki tersebut dan mengenakan kompaun RM5,000 terhadapnya kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) serta melarikan diri dari kawasan PKPD,” kata beliau selepas melawat Pasar Besar Wakaf Bharu yang disanitasi..

Proses sanitasi dilakukan pengurusan Pasar Besar Wakaf Bharu dan turut dipantau Ketua Balai Polis Wakaf Bharu, Sarjan Mejar Abd Halim Shafai bermula pukul 9 pagi ini merangkumi semua seksyen kawasan itu.

Mohd. Razi berkata, keputusan diterima lelaki itu untuk ujian calitan kali pertama adalah negatif namun untuk ujian kedua yang dijalankan semalam  belum diketahui.

“Kita nasihatkan mereka yang berada dalam mana-mana kawasan dikenakan PKPD agar kekal berada dalam lokaliti itu dan jangan cuba keluar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Berhubung dakwaan kira-kira 50 keluarga hilang dari PKPD Taman Sri Bayu di sini semasa pelaksanaannya yang bermula Rabu lalu, beliau berkata, pihaknya sedang menyemak semula bilangan penduduk di situ.

“Sebahagian besar penghuni di kawasan PKPD itu membabitkan  penjawat awam sama ada dalam atau luar Tumpat dan kebanyakannya adalah penyewa, menyebabkan jumlah sebenar sentiasa berubah-ubah,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.