Mural wira negara di dinding rumah - Utusan Malaysia

Mural wira negara di dinding rumah

ABU Bakar Jusoh bersama lukisan mural memaparkan suasana ketika dia bertempur dengan komunis yang dilukis di dinding rumahnya di Taman Jabatan Perumahan Negara, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang pesara tentera mengabadikan kenangannya dalam perkhidmatan, terutama pengalaman bertempur dengan komunis dengan menghasilkan lukisan mural di dinding rumah.

Abu Bakar Jusoh, 66, yang tinggal di Taman Jabatan Perumahan Negara (JPN) di sini, berhabis ribuan ringgit mengupah pelukis mural bagi menggambarkan suasana ketika dia bertempur dengan pengganas tersebut sekitar 1980-an.

Katanya, peristiwa itu sukar dilupakan kerana beberapa rakan sepasukan cedera ditembak.

“Lukisan mural itu menggambarkan suasana ketika bertempur dengan komunis pada awal 1980-an di Batu 30 Lebuh Raya Timur-Barat.

“Saya mengeluarkan kos hampir RM5,000 untuk lukisan mural ini sebagai kenangan kerana begitu getirnya perjuangan kami bertempur komunis ketika berkhidmat dalam tentera.

“Selain itu, saya pernah berpengalaman menyertai operasi Cahaya Bina di Thailand serta operasi memburu komunis di Lata Janggut, Jeli pada awal 80-an,” katanya ketika ditemui rumahnya semalam.

Abu Bakar yang pernah memegang jawatan Sarjan merancang membuat muzium mini di rumahnya bagi menempatkan gambar lama dan anugerah yang diterimanya ketika dalam perkhidmatan.

Katanya, idea menghasilkan muzium mini di rumahnya tercetus kerana pihak berkuasa tempatan tidak dapat menubuhkan sebuah muzium seumpama itu di Gua Musang.

“Kebanyakan generasi muda hari ini tidak bersemangat patriotik kerana kurang memahami memandangkan mereka tidak berada di zaman kesusahan untuk mencapai kemerdekaan.

“Saya menyeru kepada generasi muda agar hayatilah serta sayangi negara ini. Pertama sekali kita mesti pasang bendera di rumah untuk menunjukkan semangat patriotik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya