ARAU: Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) di negeri ini mendapat sambutan luar biasa apabila jumlah penerima vaksin melalui program tersebut melebihi sasaran iaitu mencecah sehingga 11,000 penerima.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional negeri, Zulkhairi Zainal berkata, seramai 4,000 penduduk menerima suntikan melalui Movak tersebut selain 7,000 membabitkan program Movak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurut beliau, program yang bermula 26 Julai berakhir pada 1 September depan itu juga banyak membantu penduduk luar bandar yang sukar untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selain memudahkan mereka yang belum menerima tarikh janji temu.
“Alhamdulillah, program Movak di negeri ini menerima sambutan baik melebihi sasaran. Ramai yang memuji inisiatif tersebut kerana sangat membantu mereka dalam menerima suntikan vaksin.
“Sebelum ini, kita sasar keseluruhan 3,700 penduduk dari negeri ini menerima vaksin menerusi program Movak namun sudah melebihi sehingga 4,000 selain 7,000 melalui program Movak KPKT,” katanya selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan di dewan Dataran RPA Arau di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) RPA Arau, Khalid Ahmad.
Sementara itu, Zulkhairi berkata, pihaknya bersedia jika pihak kementerian menyambung program tersebut pada masa depan.
“Kebanyakkan penerima suntikan adalah terdiri daripada golongan dewasa yang masih tidak menerima janji temu meskipun sudah lama mendaftar. Program tersebut banyak membantu golongan tersebut.
“Selepas ini, mungkin tumpuan diberikan kepada golongan 18 tahun ke atas bagi memastikan imuniti kelompok segera dapat dicapai,” katanya.- UTUSAN