JOHOR BAHRU: Datuk Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri akan menyatakan pendirian beliau mengenai keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak.
Dalam keputusan tersebut, Menteri Besar itu menegaskan beliau akan meletakkan kepentingan rakyat lebih utama sebelum menyatakan keputusan itu.
“Saya berpendapat persoalan berkenaan keabsahan Perdana Menteri dari sudut saya sebagai ketua kerajaan, perkara itu seperti mana saya katakan lebih awal, akan saya perjelaskan melalui Dewan jadi ia akan dibuat semasa ucapan penggulungan.
“Sebagai seorang pemimpin, kita perlu ada pendirian dan kita perlu menyatakan pendirian kita dengan jelas. Saya percaya bahawa apabila kita meletakkan kepentingan rakyat di hadapan, kita tidak akan menghadapi kesukaran untuk membuat sesuatu pendirian,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu.
Hasni berkata demikian kepada pemberita selepas titah Pembukaan Persidangan Penggal Keempat DUN Johor oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Kota Iskandar, hari ini.
Pada sesi pembukaan itu, Muhyiddin selaku ADUN Gambir turut hadir bagi mendengar titah Sultan Ibrahim yang bermula pukul 9.30 pagi sebelum sidang ditangguhkan sehingga 22 Ogos ini bagi memberi ruang kepada penilaian risiko Covid-19.
Sebelum ini, Hasni didesak oleh Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang juga bekas Menteri Besar agar membuat keputusan segera sama ada masih meneruskan sokongan terhadap Perdana Menteri atau tidak.
Dr. Sahruddin berkata, keputusan itu amat penting kerana akan memberi impak kepada pentadbiran kerajaan negeri selepas ini walaupun kerjasama dengan UMNO Johor masih diteruskan dalam konteks kerajaan negeri sehinggalah mendapat apa-apa arahan daripada pucuk pimpinan tertinggi parti.
Semalam, seorang lagi bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian turut melabel Hasni sebagai pengecut kerana enggan menyatakan pendirian sebelum sidang DUN Johor berlangsung hari ini.
Dalam perkembangan lain, Hasni berkata, beliau yakin dan percaya semua ahli dewan termasuk pembangkang dapat memahami titah Sultan Ibrahim dan tidak akan menyentuh perkara yang boleh menimbulkan keadaan menjadi panas.
“Kita akan membincangkan perkara-perkara berkaitan pengurusan Covid-19 melalui ucapan-ucapan atau perbahasan agar mencapai keputusan yang menjurus kepada usaha membantu rakyat. Kita juga ambil maklum untuk terus menjadikan keperluan Johor menjadi pilihan para pelabur melalui dasar baharu yang boleh kita perkenalkan,” katanya.- UTUSAN










