Mat Rashid bantu lumpuhkan aktiviti komunis - Utusan Malaysia

Mat Rashid bantu lumpuhkan aktiviti komunis

MAT Rashid Jusoh menunjukkan gambar kenangan dan sijil penghargaan yang diterimanya semasa bertugas ketika ditemui di Kampung Paya Embun, Pekan Nanas, Pontian, Johor. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 antara Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) bukan sahaja menempa sejarah kepada negara, bahkan meninggalkan pengalaman bermakna buat seorang pesara polis.

Sebagai Pegawai Teknikal dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mat Rashid Jusoh, 66, yang bersara pada 2015 dengan pangkat Superintenden sebagai Pegawai Turus Urusetia Cawangan Khas Bukit Aman, lebih suka menyifatkan dirinya petugas ‘di belakang tabir’ bagi melumpuhkan aktiviti pengganas komunis.

Mat Rashid yang memulakan perkhidmatan dalam PDRM dengan mengikuti kursus Pegawai Soal Siasat selama enam bulan bermula 15 April 1979 berkata, beliau berbangga dapat menyumbangkan sesuatu bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

“Sebagai pasukan teknikal, kami tidak bertempur tetapi banyak membantu usaha mematahkan aktiviti pasukan pengganas termasuk sehingga membawa kepada Perjanjian Damai Hatyai yang dimeterai kerajaan.

“Ia bukan sahaja memerlukan kami bertugas sepanjang masa tetapi lebih penting perlu menjaga kerahsiaan operasi yang dijalankan bagi memastikan tidak diketahui musuh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Paya Embun, Pekan Nanas, semalam.

Anak jati Selama, Kedah yang turut memiliki Diploma Kejuruteraan Mekanikal itu berkata, tugas sebagai Pegawai Teknikal cukup mencabar dan memerlukan kekuatan mental serta fizikal.

Malah, Mat Rashid berkata, beliau juga terlibat dengan kes-kes berprofil tinggi seperti kes Bukit Jenalik di Perak melibatkan Kumpulan Al-Maunah yang memerlukan kecekapan Pasukan Teknikal dalam kes seperti itu.

Bersandarkan kebolehan dan kemampuannya, Mat Rashid dihantar bertugas di Pejabat United Nations International Police Task Force (UNIPTF) di Bosnia Herzegovina pada 1988 hingga 1999.

Beliau yang ketika itu berpangkat Asisten Superintenden menaiki pesawat khas ke Sarajevo dan sebaik sahaja tiba disajikan dengan pandangan ngeri ekoran banyak trak tentera bergerak di merata-rata seperti menggambarkan sebuah negara yang sedang berperang.

“Banyak bangunan yang sudah roboh menyembah bumi selain terdapat bangunan rosak teruk kerana dibedil peluru dan menyebabkan saya terfikir dengan penugasan di negara yang sedang bergolak teruk itu.

“Pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila bersama rakan diarah bertugas sebagai pegawai pilihan raya di Daerah Prnjavor dalam Wilayah Banja Luka yang keseluruhannya didiami bangsa Serbia yang telah membunuh ramai penduduk Islam.

“Kejadian perang saudara yang berlaku di Bosnia Herzegovina melibatkan etnik Serbia, Croatia dan Bosnia mengingatkan saya kepada masyarakat majmuk yang ada di negara kita,” ujarnya yang turut bertugas sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Timor Leste.

Tambah Mat Rashid, pengalaman bertugas sebagai Pasukan Pengaman Antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menginsafkan dirinya akan keamanan dan kemakmuran Malaysia walaupun mempunyai pelbagai bangsa, agama dan budaya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×