BENTONG: Bayaran RM100 hingga RM380 didakwa dikenakan ejen yang menjual slot suntikan vaksin membabitkan seorang warga asing di daerah ini.
Timbalan Ketua Penerangan MCA Pusat, Wong Siew Mun mendakwa, pihaknya menerima laporan penduduk di sini mengenai kegiatan menjual slot suntikan vaksin melibatkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Pihak kami menerima banyak aduan dan rungutan penduduk Bentong bahawa ada ejen menghubungi mereka dan menawarkan slot vaksin kepada pekerja asing yang bekerja dengan mereka membabitkan bayaran RM100 hingga RM380.
“Tindakan ini sama sekali menidakkan hak rakyat Malaysia yang masih menunggu giliran menerusi MySejahtera apatah lagi ramai rakyat kita telah meninggal dunia akibat Covid-19 sebelum mendapat giliran suntikan vaksin,” katanya di sini hari ini.
Menurut Siew Mun, berdasarkan laporan daripada pengadu mendakwa warga asing berkenaan mendapat slot suntikan yang dipaparkan dalam MySejahtera yang diuruskan ejen terbabit.
Beliau berkata, siasatan perlu dilakukan dengan segera bagi memastikan tiada lagi aktiviti seperti ini termasuk dalam program vaksinasi terbaharu yang akan dilaksanakan di Mempaga di sini esok.
“Kami berharap polis bertindak pantas dan membuat siasatan demi keadilan kepada seluruh komuniti Bentong. Pada masa sama kami menyeru kepada warga Bentong agar membuat laporan polis sekiranya menghadapi situasi yang sama,” katanya.
Jelasnya, ekoran aduan itu, pihaknya membuat laporan polis di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong hari ini. – UTUSAN