KOTA TINGGI: Sebuah kapal tangki dari Korea Selatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 15 batu nautika timur Tanjung Siang, petang semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal berkenaan ditahan pada pukul 5.15 petang ketika rondaan penguatkuasaan dilakukan di perairan tersebut.
Katanya pemeriksaan awal mendapati kapal tangki tersebut telah bersauh sejak Jumaat lalu ekoran menunggu arahan pergerakan daripada syarikat perkapalan.
“Bagaimanapun, nakhoda kapal telah didapati tidak memaklumkan ketibaan dan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia.
“Kapal tangki itu dikendalikan 18 kru terdiri daripada warga Korea Selatan, Indonesia dan Myanmar berumur antara 19 tahun hingga 58 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kapal itu ditahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Nurul Hizam berkata, nakhoda bersama ketua jurutera kapal telah dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut. – UTUSAN ONLINE










