‘Kami tandatangan kehadiran, bukan sokong PN’ - Utusan Malaysia

‘Kami tandatangan kehadiran, bukan sokong PN’

NOH OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Dua ahli Parlimen UMNO menafikan telah menandatangani surat sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perjumpaan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang berlangsung hari ini.

Penafian itu dibuat Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abd. Azeez Abdul Rahim.

Menurut Noh, senarai tandatangan yang tular dalam media sosial sejak tengah hari itu merupakan tanda tangan kehadiran perjumpaan tersebut dan bukannya sebagai tanda menyokong mana-mana pihak.

Sehubungan itu, beliau menegaskan masih seiring dengan pendirian parti iaitu menolak pimpinan Muhyiddin dan PN.

“Dalam perbincangan itu, saya bersetuju dengan hasil perbincangan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini masih sah sehingga Parlimen pada September ini untuk ditentukan keabsahannya.

“Saya dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah berkenan agar usul percaya dibentangkan pada SepTember ini. Saya menjunjung titah Tuanku itu sehingga Parlimen bersidang kelak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, tular satu senarai tandatangan ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN yang kononya bagi menzahirkan sokongan kepada PN selepas perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Sejurus perjumpaan berlangsung, Ismail Sabri mengadakan sidang media dan memaklumkan 31 Ahli Parlimen BN menyatakan pendirian menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar keabsahan kerajaan ditentukan pada Sidang Parlimen pada September ini.

ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM

Dalam pada itu, Abd. Azeez penularan senarai tandatangani itu menyebabkan beliau telah dituduh telah mengkhianati parti apabila dilihat menyokong kerajaan PN.

“Ya hadir pertemuan itu namun saya hadir ingin berbincang seperti diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri bahawa kami menjunjung titah Agong agar Parlimen menjadi penentu keabsahan kerajaan sedia ada kini.

“Saya menangani itu sebagai tanda kehadiran dan bukannya menyokong. Jadi jangan terkeliru dengan apa yang ditularkan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN