PETALING JAYA: Pemimpin parti politik meletakkan harapan tinggi kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam membawa kestabilan buat negara dan mampu menangani pandemik Covid-19 dengan berkesan.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lantikan Ismail Sabri secara tidak langsung menjadi cabaran kepada parti pembangkang untuk bekerja lebih gigih bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Buat semua pemimpin, anggota dan pendukung, kami menggesa semua menerima keputusan ini dengan kecekalan jitu untuk bekerja lebih gigih menuju PRU15 agar dapat memenangi semula mandat rakyat yang kita terima pada pilihan raya lalu,” kata ketua pembangkang itu dalam satu kenyataan semalam.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, Ismail Sabri adalah Perdana Menteri kepada seluruh rakyat, justeru Ahli Parlimen Bera itu perlu berkhidmat dan melindungi kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
“Tugas utama beliau menyatukan semua rakyat untuk memperbaiki kegagalan dan kesilapan dalam memerangi pandemik Covid-19 yang mencecah rekod tertinggi sebanyak 23,564 kes pada 20 Ogos lalu.
“Pandemik ini juga telah meragut 13,936 nyawa dan menjangkiti 1,535,268 individu. Perdana Menteri baharu perlu menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan rakyat dan ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyeru semua pemimpin dan rakyat menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong melantik Ismail Sabri.
“Ini bagi membolehkan kerajaan meneruskan usaha menangani Covid-19 serta memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan dalam negara,” katanya.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu pula menyifatkan, kerajaan baharu akan memberi keyakinan semula kepada rakyat terhadap sistem demokrasi negara.- MINGGUAN










