KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dalam lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan di Istana Negara hari ini.
Pelantikan Ismail Sabri diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam selepas baginda menerima surat akuan seramai 114 ahli Dewan Rakyat yang memberikan pengakuan masing-masing menyokong Ahli Parlimen Bera itu.
Selain UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, MCA dan MIC yang bersemuka menyatakan akuan, kelmarin, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star) dan Bebas turut mengesahkan sokongan menerusi surat akuan masing-masing.
Dalam kenyataan Istana Negara, semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pelantikan Ismail Sabri dibuat selepas Seri Paduka menerima surat akuan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan.
“Istana Negara telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan pada 18 Ogos 2021.
“Susulan itu, Seri Paduka berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka telah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera) sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9,” katanya.
Pelantikan Ismail Sabri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan Isnin lalu, dibuat selepas Seri Paduka mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara pukul 2.30 petang semalam.
Menurut Ahmad Fadil, Seri Paduka turut menzahirkan pandangan pelantikan Ismail Sabri itu diharap kerajaan dapat meneruskan usaha memerangi pandemik Covid-19 dengan segera.
Ini demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik ini.
“Seri Paduka menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong turut mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
“Ahli-ahli Dewan Rakyat juga diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
“Seri Paduka turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.
“Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka kepada pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dengan melakukan penelitian dan pemerhatian yang lebih mendalam menerusi surat akuan dan pengesahan melalui sesi menghadap secara fizikal dan maya dengan setiap ahli Dewan Rakyat.
“Seri Paduka turut menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhana Watala, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam surat rasmi kepada semua 220 ahli Parlimen memaklumkan setiap anggota Dewan Rakyat perlu menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan.
Surat akuan itu perlu melengkapkan butiran yang disenaraikan antaranya meletakkan hanya satu calon Perdana Menteri sahaja, tanda tangan anggota Dewan Rakyat, cop rasmi saksi dan tarikh surat akuan.
Ahli-ahli Dewan Rakyat juga diminta untuk menjaga kerahsiaan surat akuan berkenaan sehingga satu keputusan diputuskan oleh Seri Paduka.
Perkembangan itu susulan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas beliau tidak lagi mempunyai sokongan majoriti daripada ahli-ahli Dewan Rakyat. – UTUSAN










