Industri jual kereta tiada stok - Utusan Malaysia

Industri jual kereta tiada stok

Industri jual kereta sekarang tiada stok dan pelanggan terpaksa tunggu masa lama untuk dapat menggunakan kereta yang ditempah. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:Jika anda berhasrat mendapatkan kenderaan jenama import pemasangan tempatan (CKD) dalam tempoh terdekat, sekarang bukanlah masa terbaik.

Ini kerana pembeli dan penjual kereta kini berdepan masalah mendapatkan stok kenderaan terutama pemasangan tempatan (CKD) ekoran penutupan operasi hampir dua bulan.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, penjualan kereta juga berada pada tahap paling minimum, sekali gus menjejaskan pendapatan ekoran penutupan kilang dan pusat jualan.

Bagaimanapun, katanya, pe­langgan masih boleh membeli model diimport sepenuh­nya (CBU) berdasarkan stok dan model yang dibawa masuk sebelum ini sahaja.

“Stok kereta CKD tidak dikeluarkan sekarang memandang­kan semua kilang pembuatan ditutup. Stok CBU kebanyakannya disimpan di kawasan khas dan di pelabuhan kerana proses penjualan sangat perlahan.

“Semua kenderaan CBU kami disimpan di kawasan tertutup dan kami perlu menghidupkan enjin kereta-kereta ini supaya bateri tidak habis, “ katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, industri automotif menyumbang kepada kira-kira empat peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan penyertaan lebih 700,000 orang penjual, pengeluar komponen dan lain-lain.

Menurutnya, Malaysia juga bakal kehilangan pasaran di peringkat global selepas ada syarikat seperti Toyota mengeksport dalam jumlah besar komponen automotif sebagai sebahagian rantaian global kerana tidak dapat beroperasi di negara ini.

Sementara itu, Jurucakap UMW Toyota Motor (UMWT) berkata, pihaknya tidak dapat membuat penghantaran kereta kepada pelanggan dan hanya mengambil tempahan buat masa ini sahaja.

“Stok kereta siap tidak ba­nyak. Bila kita boleh beroperasi semula, baru production akan dipercepatkan.

“Kami sendiri tidak dapat menghantar kereta kepada pelanggan dan hanya uruskan tempahan sehinggalah operasi dibuka semula,” ujarnya.

Dalam pada itu, penjual kereta jenama tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Zairo Aimi, 32, berkata, dia hanya menguruskan urusan pinjaman bank dan tempahan bagi sesiapa yang mahu membeli kereta pada masa ini.

“Untuk tempahan Myvi, kita jangka mereka mungkin terima kereta pada tahun depan kerana stok memang tiada sekarang ini.

“Jika mereka terdesak dan mahu menggunakan kereta dalam masa terdekat kami memang tidak dapat membantu,” ujarnya.

Zairo Aimi berkata, dia kini hanya menerima gaji asas sahaja dan turut tersepit ekoran masalah pengeluaran kereta melibatkan pelbagai model.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN