PASIR PUTEH: Tok Bali, di sini ‘hidup’ disebabkan pengunjung dari seluruh pelosok Kelantan dan Terengganu tidak putus-putus datang membeli ikan segar di pasar minggu atau menikmati hidangan ikan bakar di restoran tepi jalan.
Namun, larangan rentas daerah dan negeri berbulan-bulan lamanya bagi membendung pandemik, telah menukar lubuk ikan segar serta syurga ikan bakar itu menjadi seakan-akan sebuah pekan mati.
Satu persatu restoran terpaksa gulung tikar dan selepas lebih setahun Covid-19 mengancam negara ini, tidak keterlaluan jika dikatakan perusahaan ikan bakar di sepanjang Jalan Tok Bali-Besut sudah mula ‘pupus’.
Menceritakan realiti itu kepada Utusan Malaysia, pemilik Mazni Ikan Bakar, Saharudin Ibrahim berkata, deretan restoran di sepanjang jalan utama Kelantan-Terengganu tersebut sememangnya teruk terkesan dengan pandemik.
Saharudin, 42, yang berniaga selama hampir 15 tahun di situ berkata, dalam situasi sekarang, ikan bakar tidak lagi laku untuk dijual kerana hidangan itu lazimnya dinikmati di restoran bersama keluarga, bukan untuk dibeli bungkus dan makan di rumah.
“Bekalan ikan pula tidak boleh disimpan lama kerana kualiti dan kesegarannya terjejas. Apabila tidak laku, kami terpaksa menanggung kerugian besar. Sebab itu kebanyakan kedai ikan bakar di sini belum dapat beroperasi.
“Saya sendiri terpaksa berhenti menjual ikan bakar berempah dan mengubah menu kepada nasi berlauk dan nasi Arab dijual secara pandu lalu demi kelangsungan hidup.
“Alhamdulillah, usaha ini membolehkan saya mampu bertahan kerana ada pelanggan yang membuat tempahan untuk tujuan kebajikan seperti dihantar ke rumah anak-anak yatim dan pusat tahfiz berdekatan,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Saharudin, kebenaran individu yang lengkap divaksin makan di kedai tidak membawa erti bagi pengusaha di situ, kerana rata-ratanya belum memenuhi syarat tambahan kerajaan negeri yang mewajibkan mereka dan pekerja menerima dua dos vaksin terlebih dahulu.
Seorang lagi pengusaha restoran ikan bakar di situ, Rohani Mat Ariffin, 58, berkata, selepas aktiviti makan di kedai dan rentas daerah sudah dibenarkan kepada individu yang menerima dua dos vaksin, pekan Tok Bali tetap sepi tanpa pengunjung.
“Biarpun saya sendiri serta para pekerja sudah lengkap menerima dua dos vaksin dan boleh membuka restoran seperti biasa, saya memilih untuk tidak beroperasi kerana khuatir terhadap penularan varian Delta yang mula dikesan di negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE