PETALING JAYA: Amerika Syarikat (AS) akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi di Sabah dalam menggalakkan keselamatan dan kemakmuran Sabah sementara usaha menghentikan penularan Covid-19 terus menjadi keutamaan kedutaan AS di Malaysia.
Menerusi laman web rasmi Kedutaan AS di Malaysia, Duta Besar AS, Brian D. McFeeters telah mengadakan lawatan secara dalam talian.
“Covid-19 kekal menjadi keutamaan bagi AS, dan Kedutaan A.S. akan terus membantu Malaysia untuk memerangi pandemik ini. Selain satu juta dos vaksin Pfizer yang disumbangkan kepada Malaysia pada bulan Julai, kerajaan A.S. memberikan RM3.5 juta untuk meningkatkan kapasiti ujian COVID-19 di Sabah.
“Bukan itu sahaja, RM2 juta lagi untuk sumbangan ambulans dan sokongan lain kepada Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) di Sabah dan Sarawak tahun lalu,” jelasnya dalam kenyataan rasmi itu.
Dalam lawatan itu, McFeeters telah melawat Menteri Besar Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan hasrat mereka untuk mengukuhkan perkongsian kesihatan awam AS dan Sabah.
Turut dibincangkan adalah isu keselamatan negeri Sabah bersama Ketua Hakim Sabah dan Sarawak iaitu Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.
“AS akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi di Sabah dalam menggalakkan keselamatan dan kemakmuran Sabah.
“Dalam pertemuannya dengan Abang Iskandar, McFeeters menekankan komitmen AS untuk kerjasama keselamatan di Sabah dan membincangkan keutamaan bersama untuk memerangi keganasan, pemerdagangan orang, dan pemerdagangan hidupan liar,” katanya. -UTUSAN ONLINE










