PETALING JAYA: Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) akan dilancarkan bagi mentransformasi sektor agromakanan agar lebih mapan, berdaya saing dan berteknologi tinggi.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dasar tersebut juga dapat memacu pertumbuhan ekonomi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu katanya, golongan muda diharap menyokong usaha kerajaan dengan membawa teknologi moden seperti internet benda (IoT), teknologi pendigitalan, teknologi mekanisasi dan automasi ke dalam sektor agromakanan pada era Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).
“Ini (teknologi) dapat melonjakkan sektor agromakanan ke suatu dimensi yang lebih kompetitif, efektif dan berdaya saing dari permulaan aktiviti pengeluaran, lepas tuai, pemborongan, peruncitan serta pengedaran agar sektor ini berkembang lebih pantas dan mampu memberi pulangan lumayan kepada golongan sasar,” katanya semasa berucap sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2021 melalui laman Facebook rasmi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) hari ini.
Tambah Muhyiddin, kerajaan juga melaksanakan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 dengan memfokuskan kepada pengeluaran makanan dan input ternakan secara tempatan.
Selain itu, katanya, kerajaan juga akan menubuhkan Lembaga Ruminan Negara yang beroperasi secara berfasa mulai 2022 bagi mempertingkat kemapanan dan pertumbuhan industri ternakan.
“Penubuhan Lembaga Ruminan Negara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC).
“Memahami kesukaran yang dihadapi peladang, penternak dan nelayan yang berdepan dengan pandemik Covid-19, Muhyiddin turut menegaskan bahawa kerajaan sama sekali tidak pernah meminggirkan golongan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menghargai sumbangan golongan tersebut dalam memastikan bekalan makanan stabil dan terjamin, kerajaan telah memberi peruntukan berskala besar dan berterusan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memastikan rantaian aktiviti pengeluaran makanan terus berdaya saing dan tidak terjejas.
“Ketika negara lain menghadapi krisis kekurangan dan terputus bekalan makanan namun Malaysia masih mempunyai stok bekalan makanan yang stabil dan terjamin.
“Kesemua ini adalah hasil komitmen dan usaha berterusan tanpa mengenal penat lelah para peladang, penternak dan nelayan yang pada hakikatnya adalah petugas barisan hadapan atau frontliners kita dalam sektor agromakanan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE