Covid-19: Pesakit kanak-kanak, bayi naik 30% di Kelantan - Utusan Malaysia

Covid-19: Pesakit kanak-kanak, bayi naik 30% di Kelantan

KEADAAN PKRC Tanjong Chat, Kota Bharu pada 4 Ogos 2021 yang sesak berikutan peningkatan kes di Kelantan. - UTUSAN/ROHANA MOHD.NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pesakit Covid-19 berusia 12 tahun dan ke  bawah yang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Kelantan meningkat 30 peratus dalam tempoh dua minggu lalu.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr. Mohd. Zurairie Mohd.Zubir berkata, setakat ini, bilangan pesakit kanak-kanak dan bayi yang ditempatkan di PKRC  sudah mencecah 200 orang.

Menurut beliau, kebanyakan pesakit berkenaan tidak akan dipisahkan dengan ibu bapa masing-masing apabila dikuarantin di PKRC yang sama, kecuali pesakit kritikal yang ditempatkan dalam bilik berasingan.

“Pesakit kanak-kanak dan bayi ini biasanya kita tempatkan di PKRC Putik dan PKRC Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Pengkalan Chepa.

“Keadaan di PKRC Putik kini bertambah sesak dengan pesakit meningkat tiga kali ganda dan mencapai 300 orang. Disebabkan ada pesakit kanak-kanak dan bayi, kita perlu menyediakan makanan berbeza dengan pesakit dewasa,” kata beliau selepas menerima sumbangan 200 kotak makanan dari Persatuan Tzu Chi di PKRC Tanjong Chat, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Datuk Dr. Selasawati Ghazali.

Kata  Mohd. Zurairie, pihaknya mahu semua kanak-kanak dan bayi ini gembira dan tidak tertekan semasa menjalani rawatan.

Selain itu, jelas beliau, berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di Kelantan, PKRC Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK ) Kampung Laut yang sebelum ini dalam status ‘standby mode’ telah diaktifkan semula.

Menurut beliau, beberapa lagi PKRC akan dibuka di Kota Bharu kerana peningkatan kes amat ketara manakala  jumlah PKRC sedia ada sudah tidak mampu menampung kemasukan pesakit baharu.

“Sehingga hari ini, jumlah pesakit yang ada di PKRC seluruh Kelantan mencecah 1,800 orang,” kata beliau

Sementara itu, Dr. Selasawati berkata, sehingga hari ini jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat di HRPZ II melebihi 100 peratus kapasiti asal hospital itu manakala pesakit yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula mencapai 80 peratus.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya