PORT DICKSON: Dua daripada lima beradik yatim piatu yang mengalami trauma selepas kematian ibu bapa mereka akibat Covid-19 semakin pulih, malah bersedia kembali ke sekolah secara bersemuka pada 1 September ini.
Anak sulung keluarga itu, Muhammad Haidir Rodzi, 23, berkata, emosi dua adiknya Muhammad Haiqiel Rodzi, 13, dan Muhammad Khierzamani Rodzi, 7, semakin pulih dan dapat menerima hakikat ibu dan bapa mereka telah meninggal dunia.
“Mereka semakin memahami dan menerima dugaan yang kami hadapi sebelum ini. Kami menjalani kehidupan seperti biasa, adik-adik juga sudah bersedia untuk ke sekolah.
“Cuma bezanya kali ini, bukan emak yang mengejutkan dan menyiapkan mereka untuk ke sekolah lagi. Walaupun dahulu emak mempunyai masalah penglihatan, rutin menyiapkan kelengkapan sekolah adik-adik arwah mak yang uruskan” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan kisah lima beradik di Bandar Sunggala dekat sini kehilangan ibu dan bapa mereka yang meninggal dunia akibat akibat Covid-19.
Bapa mereka, Allahyarham Rodzi Tahar, 55, meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 pagi di Hospital Tampin pada 31 Mei lalu.
Ibu mereka, Nazita Idris, 45, pula menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban pada 6 Jun lalu.
Peristiwa itu mendapat perhatian pelbagai pihak yang tampil menghulurkan bantuan terutama berkaitan keperluan Muhammad Haiqiel dan Muhammad Khierzamani.
Muhammad Haidir dalam pada itu memberitahu, dua adiknya yang masih bersekolah mendapat jaminan dari segi kewangan bulanan antaranya dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan UMNO Bahagian Port Dickson
“Mereka juga menerima sumbangan baju sekolah daripada Kementerian Pertahanan dan sekiranya sekolah dibuka nanti, saya hanya perlu menyediakan kasut sekolah baharu sahaja buat mereka,” katanya. – UTUSAN










