MELAKA: Penularan pantas Covid-19 yang mencetuskan kluster tempat kerja mendorong seorang kerani syarikat kuari segera mendaftar untuk Program Vaksinasi Industri Peruncitan (Rivac).
Norhafizah Abdul Aziz, 33, berkata, dia pada awalnya mengambil sikap tunggu dan lihat setelah terpengaruh dengan pelbagai berita tidak benar tentang vaksin di media sosial.
Katanya, mendengar cerita negatif itu membuatkan hatinya berbelah bagi untuk menerima suntikan termasuk tidak mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.
“Saya mengambil masa untuk percaya dan yakin dengan vaksin. Itu pun selepas ramai rakan-rakan saya sudah menerima suntikan.
“Majikan turut menasihatkan supaya mendaftar kerana tuntutan kerja memerlukan saya berjumpa dengan ramai orang. Selain untuk diri sendiri, vaksinasi juga mampu memberi perlindungan kepada keluarga dan orang sekeliling,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di di Dataran Pahlawan Megamall di sini.
Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Rivac di Dataran Pahlawan Megamall mula beroperasi Jumaat lalu dengan kapasiti 800 suntikan sehari.
Sementara itu, seorang juruteknik, Mohd. Zahid Arshad, 45, berkata, langkah kerajaan mewujudkan Rivac sangat membantu pekerja industri peruncitan sepertinya yang saban hari bertemu dengan ramai orang.
Katanya, bekerja di kawasan tumpuan ramai menjadikan dirinya lebih mudah terdedah kepada ancaman virus maut itu.
“Perasaan sedikit bimbang semasa bekerja kerana belum divaksin. Seperti semua tahu virus ini boleh menular dengan pantas dan memberikan kesan yang lebih teruk berbanding individu yang sudah divaksin.
“Saya harap majikan mendaftarkan pekerja untuk mendapatkan vaksin secepat mungkin agar ekonomi kita dapat pulih seperti biasa dan bekerja dalam persekitaran yang selamat,” katanya. – UTUSAN ONLINE