PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan video yang memaparkan dua wanita bertindak terjun dari sebuah apartmen kononnya berlaku di Genting Highlands, Pahang seperti tular dalam media sosial hari ini, adalah video lama.
Superintenden Komunikasi Korporat PDRM, Superintenden A Skandaguru berkata, klip video itu diulang siar beberapa kali di media sosial sejak 2020 bagi membangkitkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Kejadian itu berlaku di luar negara pada 2017 dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan berita tidak berasas.
“Tindakan berkongsi atau menyebar berita seperti ini akan menimbulkan keresahan dan kebimbangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










