UMNO minta Muhyiddin, Takiyuddin letak jawatan - Utusan Malaysia

UMNO minta Muhyiddin, Takiyuddin letak jawatan

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO akan meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Bin Hassan meletakkan jawatan secara terhormat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO amat kesal dengan tindakan kerajaan pimpinan Muhyiddin mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan di Parlimen seiring dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, lebih mendukacitakan apabila Seri Paduka sendiri mendedahkan bahawa pembatalan ordinan-ordinan darurat sebagaimana diumumkan Menteri Undang-Undang pada Isnin lalu di Parlimen amat mengelirukan kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan Agong. 

“Tindakan ini jelas satu bentuk penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan.

“Sehubungan itu, UMNO akan meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan  meletakkan jawatan secara terhormat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.

Datuk Pengelola Bijaya Istana Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, ini sedangkan, pembatalan semua ordinan darurat belum mendapat perkenan daripada Seri Paduka.

Beliau berkata, Seri Paduka turut berdukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dipersetujui sebelum ini dengan Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai lalu berkenaan cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menambah ahli-ahli Parlimen UMNO mesti menzahirkan dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan ke atas Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Kata beliau, keputusan itu bagi memenuhi sumpah jawatan selaku Ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan memelihara, melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa.

“Pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya