CYBERJAYA: Tiga menara telekomunikasi baharu akan dibina di Kuala Krai, Kelantan bagi mengatasi masalah capaian internet di tiga buah perkampungan di lokasi terbabit.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam satu kenyataan berkata, kampung berkenaan adalah Kampung Bahagia, Kampung Mambong dan Kampung Sungai Rimau.
“Tiga buah menara baharu berkenaan dijangka siap pembinaan pada April tahun depan dan seterusnya akan dapat membantu menyelesaikan masalah liputan yang dihadapi.
“Selain itu, dengan pembinaan menara berkenaan, ia akan turut memberi manfaat kepada 1,800 penduduk di ketiga-tiga kampung berkenaan termasuk para pelajar,” katanya.
Semalam, satu pertemuan telah diadakan bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat.
Pertemuan itu melibatkan pihak SKMM Negeri Kelantan, Ahli Dewan Undangan Negeri Guchil, Hilmi Abdullah, Ketua Kampung Bahagia, Mohamad Zain serta wakil penyedia perkhidmatan terdiri daripada Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile. -UTUSAN ONLINE










