Tiada keputusan, doktor kontrak tak datang kerja  - Utusan Malaysia

Tiada keputusan, doktor kontrak tak datang kerja 

KERATAN akhbar Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Doktor-doktor kontrak terpaksa mengambil tindakan drastik untuk tidak bekerja pada 26 Julai ini jika kerajaan tidak memenuhi tuntutan dalam isu lantikan mereka ke dalam perkhidmatan tetap. 

Gerakan Hartal Doktor Kontrak dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka menuntut kerajaan menawarkan pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada selain menjelaskan kriteria lantikan tetap secara terperinci. 

“Ini akan berlaku jika isu pelantikan tetap para pegawai perubatan ini masih menemui jalan buntu. Jika tuntutan ini tidak dilaksanakan dan tiada hitam putih dalam jangka masa tiga minggu, kami terpaksa mengambil tindakan drastik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba meminta doktor kontrak bersabar sementara isu dihadapi mereka dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam waktu terdekat. 

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye mencadangkan satu suruhanjaya perkhidmatan perubatan dan kesihatan perlu diwujudkan supaya perjawatan petugas kesihatan lebih meluas dengan pengambilan mereka tidak lagi di bawah SPA dan JPA. 

Terdahulu, sekumpulan pegawai perubatan kontrak mewakili 23,000 kalangan perjawatan itu memberi kata dua kepada kerajaan untuk melakukan hartal atau mogok pada 26 Julai ini jika masih tiada jalan penyelesaian isu pelantikan tetap mereka. 

Difahamkan, jurang gaji RM700 sebulan dan tiada peluang melanjutkan pelajaran kecuali atas tajaan sendiri (parallel pathway) yang hanya melibatkan disiplin perubatan tertentu antara isu yang akan dibangkitkan ketika mogok nanti. Untuk rekod, sejak 2016, seramai 789 atau 3.4 peratus pegawai dilantik secara tetap manakala lebihnya berkhidmat secara kontrak. 

Akhbar ini baru-baru ini membangkitkan persoalan tentang pihak bertanggungjawab melantik dan menyerap pegawai perubatan kontrak ke status tetap selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Kementerian Kesihatan menuding jari antara satu sama lain. 

Mengulas lanjut, gerakan itu berkata, kenyataan Adham amat mendukacitakan kerana sepanjang pandemik Covid-19 menunjukkan doktor kontrak adalah diperlukan malah pengorbanan mereka tidak dapat dinafikan semua pihak. 

“Namun, sehingga hari ini, proses lantikan tetap masih menemukan jalan buntu yang mana proses pemilihan dan jawatan masih samar. Kami hanya diberitahu bahawa pelantikan semua bergantung kepada SPA. 

“Lebih memburukkan keadaan, pihak kementerian sendiri dilihat memandang enteng dalam membantu menyelesaikan isu ini sekaligus mengakibatkan pelbagai respons negatif pelbagai pihak,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya