Terkejut diserbu, dua GRO Vietnam cedera terjun kondo  - Utusan Malaysia

Terkejut diserbu, dua GRO Vietnam cedera terjun kondo 

WARGA asing yang ditahan dalam Op Patuh Jabatan Imigresen di sekitar Ipoh semalam. - UTUSAN/IHSAN JABATAN IMIGRESEN PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dua wanita Vietnam yang juga pelayan pelanggan (GRO) menggadai nyawa dengan terjun dari tingkat satu sebuah kondominium bagi mengelak ditahan  di Gunung Rapat di sini semalam.

Bagaimanapun, cubaan wanita berusia 28 dan 31 tahun itu gagal apabila mereka cedera hingga terpaksa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan. 

Pengarah Jabatan Imigresen Perak, Hapdzan Husaini berkata, operasi di rumah tersebut dijalankan melalui Op Patuh bermula pukul 12 tengah hari  hingga pukul 2 petang hari ini.

Menurut beliau, dalam serbuan tersebut, rumah berkenaan disewa empat wanita warga Vietnam yang dijadikan sebagai tempat penawaran perkhidmatan seks.

“Menyedari kehadiran pegawai operasi, kesemua wanita itu cuba melarikan diri dengan terjun melalui tingkap dari tingkat satu rumah tersebut.

“Bagaimanapun, dua daripada mereka cedera dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala yang lain pula berjaya diberkas,” katanya di sini hari ini. 

Menurut beliau, pemeriksaan di rumah tersebut menjumpai kondom dan minyak urut yang disyaki digunakan untuk perkhidmatan seks.

Katanya, pelanggan akan membuat janji temu terlebih dahulu melalui aplikasi Michat, WeChat dan WhatsApp sebelum ke kondominium tersebut.

“Siasatan mendapati, bayaran yang dikenakan untuk perkhidmatan seks  adalah RM250 sejam,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai operasi yang dijalankan selama dua hari sejak semalam, beliau berkata, sebanyak 16 lokasi diserbu melibatkan pasar borong, premis kediaman dan kondominium, restoran dan kedai serbaneka. 

Katanya, dalam serbuan itu, seramai 86 orang warga asing diperiksa namun hanya 23 orang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Vietnam, Bangladesh dan Myanmar yang berusia antara 24 hingga 50 tahun.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya