Tarik sokongan kepada Perdana Menteri, UMNO tak 'main politik' - Utusan Malaysia

Tarik sokongan kepada Perdana Menteri, UMNO tak ‘main politik’

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan tindakan `main politik’ ketika krisis Covid-19 semakin meningkat.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, langkah baharu UMNO itu adalah kerana parti itu  mengutamakan rakyat yang sedang bergelut dengan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Cuba kaji dan teliti sedalam-dalamnya rasional tindakan UMNO itu. Kerana memikirkan keselamatan dan mengutamakan kesejahteraan rakyat, maka UMNO mahu Perdana Menteri ditukar selepas 16 bulan diberi tanggungjawab menjaga rakyat, tetapi gagal.

“Sudah banyak keistimewaan diberi kepada Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menyelesaikan krisis Covid-19.

“Proklamasi darurat, penggunaan bajet tanpa perlu dibentang, pelaksanaan bermacam versi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta tiada gangguan politik selama tempoh darurat, tapi apa hasil positifnya, tiada,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu,  menurut beliau, desakan supaya menukar pemimpin yang gagal mentadbir negara dalam menangani wabak Covid-19 adalah wajar.

Kata Nur Jazlan, persepsi dan realiti tidak sama, malah bukan perkara luar biasa atau pelik pertukaran pemimpin akibat kegagalan membendung pandemik kerana beberapa negara luar sudah melakukannya.

“Terkini, 12 menteri di India diarah meletakkan jawatan selepas gagal menangani wabak Covid-19 yang bertambah teruk di negara itu. Ketika ini, kes jangkitan semakin meningkat, jumlah kematian semakin ramai, sektor kesihatan makin lumpuh, ekonomi terus merudum, pelabur lari, rakyat sengsara dan hilang pendapatan.

“Apakah sebuah kerajaan yang terus-menerus gagal seumpama ini wajar terus diberi peluang dan kepercayaan untuk menyelamatkan rakyat serta negara.

“Adakah kita mahu terus bersandarkan kepada sebuah kerajaan yang asyik melakukan perancangan yang silap berulang kali namun mengharapkan keputusan yang berbeza,” katanya.

Beliau memberitahu, seorang pemimpin yang gagal mentadbir secara efisien perlu ditukar bagi memastikan krisis Covid-19 dapat diatasi dengan pendekatan lain.

“Apatah lagi krisis defisit kepercayaan rakyat terhadap Perdana Menteri semakin merudum atas faktor kegagalan dan kesihatan peribadi. Sepatutnya mereka yang gagal perlu ikhlas mengakui kegagalan  dan berundur secara terhormat jika benar-benar jujur kepada rakyat.

“Jangan dek terlalu tamak kuasa dan menjunjung kepentingan diri melebihi keutamaan rakyat, mereka mahu terus berkhidmat biarpun sudah banyak fakta serta data yang membuktikan kegagalan mereka,” kata beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN