BUTTERWORTH: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus merancakkan program-program berkaitan peningkatan tahap kesuburan seterusnya membantu menambah populasi kadar kelahiran di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program yang bakal dilaksana itu turut membabitkan penyertaan kaum lelaki agar pendedahan sewajarnya dapat diterapkan sekali gus menyedarkan masyarakat bahawa masalah ketidaksuburan juga boleh berpunca daripada golongan tersebut.
Katanya, walaupun kadar kesuburan keseluruhan (TFR) meningkat kepada 1.7 berbanding 1.6 tahun lalu, jumlah itu masih tidak mencukupi.
“Sebelum ini kita melaksanakan program yang banyak memfokuskan kepada golongan wanita, namun, kita mahu masyarakat sedar bahawa kaum lelaki juga boleh menjadi punca ketidaksuburan.
“Oleh itu, kita telah lancarkan program jelajah di Sabah untuk memberi pendedahan kepada kaum lelaki terutamanya apakah langkah yang boleh diambil untuk menyelesaikan perkara ini.
“Dalam hal ini, ada banyak perkhidmatan yang disediakan. Antaranya ialah Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi membantu pasangan suami isteri menimang cahaya mata,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Insipirasi Wanita: Usahawanita – Mencorak Ekonomi Masa Depan di Seberang Jaya di sini, semalam.
Sementara itu, Nancy berkata, pihaknya mahu lebih ramai golongan wanita berkecimpung dalam bidang politik selepas ini.
Beliau berkata, ketika ini, 49 peratus rakyat Malaysia terdiri daripada wanita, namun, hanya 13.36 peratus sahaja yang menjadi Ahli Parlimen.
“Kesedaran politik dalam kalangan wanita perlu ditingkatkan. Begitu juga peranan kita dalam kerajaan yang wajar memberi lebih banyak peluang kepada kaum hawa untuk menyertai politik,” katanya. –UTUSAN










