Tanah perkuburan Islam di KL cukup - Utusan Malaysia

Tanah perkuburan Islam di KL cukup

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri menyampaikan sumbangan peranti internet kepada Muhammad Adam Naufal di Taman Mantau Indah, Seremban hari ini.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ruang tanah perkuburan Islam di Kuala Lumpur masih mencukupi bagi menampung pengkebumian termasuk jenazah yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, walaupun kelihatan agak terhad, ia masih mencukupi dan ia telah disahkan juga oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Setakat ini insya-Allah mencukupi, saya terfikir semalam dan bertanya kepada Pengarah JAWI berkenaan kubur-kubur terutamanya di Wilayah Persekutuan, keterhadan itu kelihatan.

“Bagaimanapun perkara ini akan dibincangkan, cara terbaik untuk menyelesaikan masalah-masalah ini jika perkara ini berterusan dari semasa ke semasa, kami akan sentiasa bersiap sedia kerana ia hak fardu kifayah mereka yang meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Sumbangan Dana Perlu dan Dana Pelajar Yayasan Wakaf Malaysia (YKM) di Taman Mantau Indah, di sini hari ini.

Pada program itu, beliau menyerahkan bantuan tablet komputer dan pek makanan kepada keluarga pelajar, Muhammad Adam Naufal Mohd. Hiran, 9.

Tambah Zulkifli, isu ruang tanah perkuburan Islam di Wilayah Persekutuan akan diteliti oleh pihaknya dengan serius.

“Sebahagian lagi negeri yang jumlah kematiannya kecil, kemungkinan tiada masalah terutama negeri-negeri yang besar tanahnya, tapi di Wilayah Persekutuan kita kena tengok dengan lebih serius

“Kaji semua aspek, termasuk jumlah kematian, tempat yang akan dikebumikan, begitu juga kawasan yang telah diperuntukkan dan suasana sebenar keadaan pandemik covid masa kini apakah trend meningkat ataupun mula surut,” katanya.

Sementara itu, beliau menambah, isu berkenaan juga seharusnya dibincangkan dalam Majlis Fatwa Kebangsaan bagi diteliti dengan lebih lanjut.

“Hal ini memerlukan kebijaksanaan profesional, kecepatan, saat yang sama juga kita mahu melihat ruang-ruang yang sesuai untuk kita laksankan berkenaan isu Covid-19 ini.

“Saya berpandangan isu seperti ini juga selayaknya dibincangkan dalam Majlis Fatwa Kebangsaan untuk ditekuni dengan sebaik mungkin,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN