PUTRAJAYA: Selepas hampir dua tahun beroperasi, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akhirnya mendedahkan rahsia warna koc perkhidmatan tren elektrik (ETS) terbaharunya.
Menerusi hantaran dalam akaun sosial rasmi syarikat rel awam itu, pentadbirnya yang dikenali sebagai Cikgu Rel memaklumkan imej tren tersebut berkonsepkan warna sejenis burung kecil.
“Dari segi konsep reka bentuk badan kereta api ETS2 ini, ia diilhamkan daripada spesies burung dalam kumpulan order Coraciiformes,” katanya melalui infografik yang disediakan KTMB.
Kelompok unggas liar bersaiz comel ini amat dikenali di seluruh dunia kerana bulu pelepahnya berwarna-warni seperti pekaka, hud hud, tiung batu, raja udang, berek-berek dan enggang.
Penjelasan ringkas Cikgu Rel itu sekali gus menjawab kemusykilan ramai pengguna tren tersebut yang selama ini menyangka warna koc berkenaan ialah belang spesies harimau Malaya.
Syarikat tersebut bagaimanapun tidak pula menyatakan rasional pemilihan warna unik itu berbanding ETS sebelum ini hanya memaparkan warna korporat KTMB iaitu kuning dan biru.
Kebanyakan spesies Ciraciiformes berasal dari Dunia Lama atau Afro-Eurasia, manakala sedozen sahaja yang dikenal pasti merupakan burung dari Dunia Baharu atau Novi Orbis.
ETS2 menggunakan tren Kelas 93/2 buatan China dengan enam enam gerabak dalam satu set kapasiti 320 penumpang bagi laluan Padang Besar-Butterworth-Kuala Lumpur-Gemas. – UTUSAN ONLINE