REKA bentuk BMW sekarang memang teruk menerima kecaman ramai, walaupun syarikat automotif Jerman itu memberikan alasan bahawa pemilik-pemilik BMW suka terhadap reka bentuk itu.
Nampaknya alasan itu tidak lagi terpakai kerana BMW menampilkan gaya reka bentuk yang serba baharu untuk generasi-generasi produknya yang akan datang, dimulakan dengan model iX3 yang baharu dipertontonkan kepada dunia minggu lepas.
Penulis di jemput ke Munich, Jerman bagi melihat model terbaharu ini dan juga untuk menemuramah jurutera-jurutera BMW yang terbabit dengan projek Nueue Klasse serta model iX3 terbaharu ini.
BMW iX3 2025 ialah pengganti kepada model yang sedia ada dan ia meneruskan gaya Neue Klasse yang diumumkan pada tahun lalu.
Bentuk gril kini kembali kepada bentuk gril BMW pada zaman 1960an, dengan ‘hidung’ yang lebih tirus dan tinggi, diapit oleh empat lampu, dua di setiap sebelah kiri dan kanan.
Lapisan krom pada gril digantikan dengan jaluran lampu LED dan bentuk keseluruhan iX3 nampak lebih sasa dan lebih seimbang.
Bahagian sisi contohnya, menggunakan garisan-garisan yang lebih garang, walaupun sebenarnya panel-panel sisi pada iX3 ini sebenarnya lebih rata dan tidak ada banyak lekuk.
Penggunaan roda aloi bersaiz 20 inci dipastikan nampak lebih hampir dengan ruang roda, mengurangkan efek lopong antara tayar dan badan kereta.
Malah, kedudukan roda-roda itu ‘ditolak’ ke ruang yang paling tepi untuk memberikan imej yang lebih garang.
Bahagian kabin juga menampilkan gaya reka bentuk yang serba baharu untuk BMW.
Penggunaan fabrik pada papan pemuka, digandingkan dengan permainan lampu-lampu di bahagian malam, membuatkan penumpang rasa lebih selesa dan seperti duduk di dalam ruang tamu rumah.
Skrin meter di hadapan pemandu digantikan dengan panel skrin di sepanjang bahagian bawah cermin hadapan. Dinamakan BMW Panoramic Vision, seluruh informasi kenderaan akan dipaparkan pada skrin panjang tersebut.

Skrin sesentuh yang besar dengan sistem BMW System X pula memang gah dan akan menjadikan fokus utama ruang depan kabin.
Penulis dapat merasakan ada sedikit aura kereta Perancis untuk ruang kabin iX3 ini kerana permainan fabrik dan skrin meter dari kiri ke kanan itu pernah dilakukan oleh jenama-jenama dari negeri tersebut.
Bagi mengurangkan berat iX3 ini, BMW memutuskan untuk membahagikan fungsi-fungsi elektronik kepada empat zon kawalan di mana setiap zon akan mempunyai komputer pusat sendiri.
Komputer berkapasiti tinggi itu akan diletakkan di zon yang sepatutnya dan ia menjimatkan penggunaan kabel.
BMW mendakwa sistem elektronik dengan empat ‘superbrains’ itu mengurangkan 30 peratus berat berbanding dengan sistem sebelumnya.
Penggunaan kabel juga dapat dijimatkan sehingga 600 meter berbanding dengan cara pendawaian sebelum ini.
Tenaga datang dari bateri lithium ion BMW sendiri yang kini dibina dalam sel-sel berbentuk silinder.
Bateri sebesar 108.7 kWh ini mampu menghasilkan 469 hp dan 645 Nm melalui motor elektrik di depan dan di belakang.
Pengecas terbina ialah 11 kW atau 22 kW untuk AC dan 400 kW untuk DC.
Jarak gerak mengikut kiraan WLTP pula ialah antara 679 kilometer (km) sehingga 805 km, bergantung kepada talaan varian-varian yang bakal ditawarkan.
Ruang but pula ialah sebesar 520 liter dan ruang barang di hud hadapan pula ialah sebesar 58 liter.
BMW iX3. ini memang dari segi saiz, lebih besar dari model sekarang. Jika dibandingkan dengan Mercedes-Benz GLC pula, ia hampir sama saiz kecuali BMW ini lebih panjang.
Sistem gantungan sama seperti iX3 sekarang, tetapi dengan talaan yang lebih khusus untuk pemanduan yang selesa dan sporty bila perlu.
BMW sudah boleh dikatakan pakar dalam talaan sistem gantungan untuk EV dan mereka berjaya ‘menyorokkan’ berat kenderaan elektrik berbateri ini.
iX3 baharu lebih selesa di laluan kurang rata dan jauh lebih senyap. Bila dipandu laju, ia mengekalkan prestasi pengendalian BMW yang digemari kaki-kaki kereta.
Cabaran terbesar syarikat-syarikat automotif sekarang ialah untuk menghasilkan kenderaan yang lebih berdaya saing dan cantik kerana profil pembeli sudah berubah.
Reka bentuk yang menarik boleh menjamin kadar jualan yang lebih tinggi dan BMW akan memulakan penggunaan rekabentuk Neue Klasse ini dengan model iX3 tahun 2025.
Sama ada ia berjaya atau tidak, ia terpulang kepada bagaimana BMW mampu memastikan iX3 ini banyak diatas jalan raya bagi menarik perhatian pengguna.
Kita sendiri boleh lihat bagaimana jenama-jenama baharu cepat naik kerana pengguna teruja melihat reka bentuk produk-produk tersebut.
Gaya retro BMW ini adalah satu cubaan yang berani dan kita sama-sama tunggu adakah pasaran boleh menerimanya.
Bagi penulis, gril hadapan dan lampu belakang ada iX3 tahun 2025 ini memang mampu untuk membuat kejutan kepada pasaran.
Apa yang pasti, kita kena biasakan diri dengan reka bentuk iX3 kerana ia akan muncul pada model-model BMW yang seterusnya. – UTUSAN










