TAPAH: Perikatan Nasional (PN) Perak akan terus menyokong Datuk Saarani Mohamad dan kekal dengan pendirian untuk bekerjasama dengan Menteri Besar Perak itu.
Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN Perak sedia memberi komitmen kepada pentadbiran kerajaan negeri dipimpin Saarani.
“Bagi pihak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak dan juga PN Perak, saya ingin menyatakan komitmen semua ADUN-ADUN daripada Pas dan Bersatu terus mendukung kerajaan negeri dipimpin Saarani.
“Kami akan terus membantu Menteri Besar dalam memberi fokus kepada usaha untuk membantu rakyat yang menghadapi kesukaran dalam tempoh pandemik Covid-19,” katanya selepas mengadakan lawatan pada Program Vaksinasi Outreach di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Lah, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kedudukan pentadbiran kerajaan negeri susulan tindakan UMNO menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak berkata, sehingga kini tiada perbincangan antara PN Perak dan UMNO berhubung kemelut di peringkat pusat.
Bagaimanapun, katanya, Bersatu dan Pas akan sentiasa berpegang kepada janji dalam memberi sokongan kepada Saarani menggalas tugas sebagai Menteri Besar.
“Saya belum berjumpa (Saarani) namun bagi pihak Bersatu dan Pas, kami memang sentiasa berpegang pada janji dan terus mendukung kerajaan dipimpin beliau,” katanya.
Saarani, 60, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-14 menggantikan Ahmad Faizal yang meletak jawatan bersama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri pada Disember lalu.
Ahmad Faizal meletak jawatan setelah gagal mendapat kepercayaan majoriti dalam undi percaya terhadap beliau dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), 4 Disember lalu. – UTUSAN










