Penjara seumur hidup antara hukuman jenayah pemerdagangan manusia - Utusan Malaysia

Penjara seumur hidup antara hukuman jenayah pemerdagangan manusia

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mempertimbang untuk meningkatkan hukuman kepada pesalah jenayah pemerdagangan manusia termasuk cadangan hukuman pemenjaraan seumur hidup.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, usaha ini adalah bagi mencerminkan komitmen kerajaan dalam membanteras kegiatan ini.

Katanya, kegiatan pemerdagangan orang adalah sama seperti amalan perhambaan moden, yang menafikan kebebasan, maruah serta hak asasi berjuta-juta orang mangsa di seluruh dunia.

“Bagi memastikan jenayah ini dapat ditangani secara serius, kerajaan akan terus menjayakan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang Tahun 2021-2025 (NAPTIP 3.0) yang dilancarkan Mac lalu.

“Berdasarkan statistik, sebanyak 1,854 kes yang melibatkan 10,463 mangsa direkodkan dalam negara dengan 70 peratus mangsa adalah terdiri dalam kalangan wanita dan kanak-kanak, sejak 2015. Bagaimanapun, semua mangsa diselamatkan dan diberikan perlindungan mengikut lunas perundangan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis pelancaran Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia 2021 secara maya, hari ini.

Hamzah berkata, kerajaan juga bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Project Liber8 membangunkan satu platform yang dikenali sebagai Chatbot MAPO.

Katanya, platform yang beroperasi setiap hari membolehkan mangsa menjadikan ia satu saluran untuk membuat aduan dengan mudah.

“Ia juga mempunyai enam bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Indonesia, Burma, Nepal dan Bengali yang membolehkan lebih ramai mangsa tampil untuk membantu kerajaan.

“Usaha ini adalah bagi membantu golongan rentan yang mudah terpengaruh dan terpedaya dengan janji palsu sindiket pemerdagangan orang sehingga menyebabkan mereka menjadi mangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN