PASIR GUDANG: Pencemaran Sungai Kopok di Kampung Perigi Acheh di sini sejak Khamis lalu yang dipercayai berpunca daripada buangan sisa bahan kimia menjejaskan k 70 nelayan dan lima penternak kupang di kawasan berkenaan.
Ketua Kampung Perigi Acheh, Othman Adon berkata, air sungai dikesan bertukar warna kehitam-hitaman sejak seminggu lalu, selain bau busuk.
Menurut beliau, penduduk kampung berkenaan percaya kejadian itu berlaku akibat pembuangan sisa kimia dari Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat yang terletak tidak sampai dua kilometer dari kampung itu.
“Kampung ini menempatkan seramai 535 penduduk daripada 135 buah rumah yang majoriti mereka adalah nelayan sungai dan laut manakala selebihnya bekerja di kilang berhampiran atau bekerja sendiri.
“Namun disebabkan sungai ini tercemar, sudah seminggu nelayan tidak dapat keluar menangkap ikan walaupun ada antara mereka tetap mencuba namun bimbang untuk menjual hasil tangkapan kerana takut menyebabkan keracunan,” katanya ketika ditemui semalam
Sabtu lalu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Facebooknya memberitahu, pihaknya menerima aduan berlaku pencemaran di Sungai Kopok sebelum mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Pasir Gudang turun ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
Hasil persampelan air Sungai Kopok di Jeti Nelayan Kampung Perigi Acheh mendapati bacaan bagi parameter oksigen terlarut (DO) adalah 5.21 manakala pH 8.3 iaitu bacaan pada julat normal.
Tuan Ibrahim turut dilaporkan memaklumkan, air sungai juga didapati tidak berbau dan kelihatan normal, malah JAS telah menyelusuri Sungai Daeng dan pengukuran in-situ telah dijalankan dengan bacaan DO adalah 4.19 dan PH 10.16.
Sementara itu, seorang nelayan, Saad Awang, 66, memberitahu, walaupun pencemaran itu sudah dikesan sejak seminggu lalu, namun sehingga kini air sungai berkenaan masih lagi keruh serta mengeluarkan bau kurang menyenangkan.
“Sejak pencemaran, hasil laut seperti ikan, udang dan ketam dilihat timbul sebelum mati selain ternakan kupang turut mengalami nasib sama,” katanya.
Seorang lagi nelayan, Zaidi Chik, 68, pula berkata, disebabkan kawasan sungai dan laut masih tercemar, nelayan mencari hasil laut di kawasan lebih jauh hingga ke perairan Pengerang, Kota Tinggi untuk meneruskan kelangsungan hidup. – UTUSAN










