JOHOR BAHRU: Tindakan seorang pembantu gerai buah-buahan memuat naik video mengandungi kenyataan jelik dan menghina Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Instagram miliknya membawa padah apabila dia ditahan, malam tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki bujang berusia 31 tahun itu ditahan pada pukul 9.30 malam di rumahnya di Ayer Hitam, Batu Pahat, dekat sini.
Katanya, lelaki berkenaan memuat naik video mengandungi kenyataan jelik dan menghina TMJ di akaun Instagram miliknya, ‘amirul_naito’.
“Perkataan-perkataan yang digunakan itu amat jelik, menghina dan sebagainya. Susulan itu, 10 laporan polis dibuat berhubung perkara yang sama.
“Individu terbabit mempunyai rekod jenayah sebelum ini, pernah ditangkap dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 kanun yang sama kerana khianat,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Ayob Khan memberitahu, semakan juga mendapati suspek pernah dikenakan hukuman pada tahun 2017 dan pada 2020 atas kesalahan sama.
Jelasnya, tangkapan dilakukan dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN ONLINE










