JOHOR BAHRU: Kejadian sebuah kapal tangki yang berlanggar dengan sebuah kapal kargo di perairan Muar, tengah malam kelmarin tidak menyebabkan berlakunya sebarang pencemaran air akibat tumpahan minyak.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, pemantauan yang dibuat bersama Jabatan Laut, Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak mengesan pencemaran yang berlaku.
Katanya, pemantauan yang dibuat di kawasan perairan itu mendapati tumpahan minyak tersebut berlaku sehingga kira-kira 100 meter daripada lokasi kejadian.
“Tumpahan minyak itu dipercayai berpunca daripada sistem minyak hidrolik. Minyak ini hampir sama seperti minyak kereta dan ia agak mudah terlarut.
“Oleh itu, pencemaran yang berlaku mungkin berada pada tahap yang rendah kerana minyak itu terlalu nipis. Pada ketika ini, kita tidak dapat mengambil sampel tumpahan minyak itu kerana keadaan tidak mengizinkan disebabkan cuaca ribut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, akhbar melaporkan, kegagalan sistem kemudi disyaki menjadi punca berlakunya pelanggaran dua buah kapal di perairan Muar.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal MV Galapagos yang berdaftar dari Malta dilaporkan mengalami kegagalan sistem kemudi dan bergerak ke kanan sehingga menghalang laluan kapal MV Zephyr Lumos yang sedang memotong MV Galapagos itu. – UTUSAN ONLINE










